Budak darjah 2 kongsi kisah trauma tengok kepala bapa saudara kena baham harimau.
Saya masih terbayang-bayang, bahagian kepala pakcik diterkam harimau,” kata Alang Kuang, yang masih trauma dengan kejadian itu.
Alang, 8, satu-satunya saksi kejadian menyaksikan Halim Asin, 27, yang masih hilang selepas diserang harimau dalam kejadian di Hulu Sungai Aring 5, di sini, kelmarin.
Alang ditemani ahli keluarga yang menjadi perantaraan kerana tidak fasih berbahasa Melayu dan kelihatan masih takut serta mengingati kejadian yang dialaminya ketika memancing bersama bapa saudaranya itu.
Menurut Alang, sejurus menyaksikan kejadian itu, dia yang takut dan terkejut pantas terjun ke dalam sungai sebelum berenang menuju ke tempat keluarganya berkhemah.
“Saya beritahu datuk, Asin Parang, 68, yang pakcik diserang harimau dan sangat takut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Aring 5, di sini, hari ini.
Mengimbas kejadian itu, bapa kepada mangsa, Asin berkata, Alang berlari ke arahnya dalam keadaan menangis dan ketakutan.
Katanya, selepas dimaklumkan kejadian, dia berlari ke tempat lokasi yang jaraknya kira-kira 500 meter daripada tempat mereka berkhemah.
“Namun, ketika sampai didapati Halim sudah tiada. Kami seramai tujuh orang menaiki rakit menuju ke Kampung Aring 5 kerana takut haiwan terbabit muncul kembali.
“Saya memaklumkan kepada penduduk kampung mengenai apa yang berlaku kepada Halim dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Paloh,” katanya.
Asin berkata, masih terngiang-ngiang lagi kata-kata Halim yang ingin ke sungai untuk memancing ikan sebagai lauk mereka pada hari itu.
“Dia pergi sebelum sempat makan dan mendapat seekor ikan Sebarau untuk dijadikan lauk kepada kami. Saya terkilan dia tidak sempat menjamah ikan yang dipancingnya dan kami tujuh beranak juga tidak sempat makan kerana kejadian terbabit.
“Saya berharap anak dapat ditemukan secepat mungkin dan saya tidak dapat menyertai operasi mencari dan menyelamat kerana masih sakit kaki. Hanya menantu, Kuang Camang, 31, yang mengikuti operasi.
“Saya harap harimau yang menyerang Halim dapat ditangkap segera. Ada rasa marah terhadap binatang terbabit,” katanya dalam nada sayu.
Semalam, media melaporkan lelaki Orang Asli suku kaum Batek dikhuatiri menjadi mangsa serangan harimau ketika memancing di Sungai Aring 5.
Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Halim sedang memancing bersama anak saudara, Alang Kuang, 8, sebelum dikatakan diserang haiwan liar berkenaan.
BACA:
Ramai teringin pergi konsert Coldplay tapi harga tiket undang keluhan netizen
Menara ‘Avengers’ bukan lagi hq TM, ini pejabat baru TM yang ramai nak tahu