Bukan hanya fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, malah dialek Annur Raisya Nor Nasir juga kedengaran seperti gaya percakapan orang Barat.
Di sebalik kepetahannya, Annur Raisya sebenarnya kanak-kanak autistik atau Autism Spectrum Disorder (ASD) walaupun bersekolah di aliran perdana.
Kebolehan Annur Raisya, 9, itu mendapat perhatian selepas ibunya, Raihana Annur Hamzah, 39,
beliau memuat naik video di TikTok hingga ramai netizen kagum melihat kepetahan berbicara kanak-kanak berkenaan.
Menurut Raihana Annur, video berdurasi tiga minit itu dirakam untuk pertandingan pidato bahasa Inggeris.
“Sebenarnya, Annur Raisya bukan menghafal sebaliknya baca teks disediakan, tapi ada (netizen) yang tak baca kapsyen ditulis sampai mengecamnya di ruangan komen.
“Mereka persoalkan sebutan dan tanya kenapa anak Melayu cakap bahasa asing, tapi saya tak kisah kerana ramai juga yang positif serta beri kata semangat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
@raihanaannurhanna Yg ni agak kaku, nnti kita pujuk supaya bg lg nmpk cantik… raisya just reading the text, its an adhoc task for the PIDATO 3 minit bahasa Inggeris #livingwithautism #troasd #highfunctioningautism #viral ♬ original sound – Rayyanraisya Couture
Bercerita lanjut, Raihana Annur berkata, Annur Raisya adalah anak keduanya dan pernah mempunyai masalah lambat bertutur atau speech delay ketika berusia dua hingga tiga tahun.
Kini, percakapan Annur Raisya sudah lancar, cuma lebih cenderung bertutur dalam bahasa Inggeris.
“Luarannya dan secara fizikal, Annur Raisya sama macam anak normal, cuma berbeza daripada segi sosial, emosi dan pertuturan.
“Waktu usia dua ke tiga tahun, Annur Raisya cakap guna ‘jargon’ atau kita panggil bahasa Alien kemudian echolalia iaitu mengulang perkataan yang kita sebut.
“Waktu usianya enam tahun, baru saya dan suami bawa anak pergi terapi carakerja dan kini masih teruskan sebulan sekali di sebuah hospital di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan seminggu sekali di pusat swasta,” katanya.
Menurut Raihana Annur, anaknya boleh menulis dan menjawab ujian mahupun peperiksaan dalam bahasa Melayu.
“Cuma, nak menyebut suku kata dalam bahasa Melayu agak susah baginya, jadi saya dan suami memang cakap bahasa Inggeris dengannya di rumah. Tapi saya dan suami bercakap dengan satu sama lain dalam bahasa Melayu.
“Di rumah anak saya tiada masalah kerana dia pun boleh bermain dengan anak jiran macam biasa, cuma di sekolah saja kerana kebanyakan rakannya bersembang dalam bahasa Melayu,” katanya.
Sebagai ibu, Raihana Annur menerima Annur Raisya seadanya kerana mempunyai pengalaman mengendalikan anak sulung yang juga autistik.
“Suami (Nor Nasir Md Amin, 40) pun sama (dapat menerima), cuma keluarga saja yang pelik kenapa Annur Raisya cakap begitu pada awalnya kerana dengar sebutannya memang macam anak Mat Salleh.
“Tapi saya dan suami tetap biarkan anak bercakap bahasa Inggeris mengikut keselesaannya.
“Saya tiada perancangan khusus untuknya, cuma berharap cikgu di sekolah dapat bantu beri lagi peluang kepada anak untuk sertai debat dan kuiz Matematik kerana itu memang minat anak selain melukis.
“Selain itu, saya berharap juga Kementerian Pendidikan (KPM) dapat sediakan lebih banyak fasiliti dan sekolah untuk kanak-kanak genius sebegini,” katanya.
BACA: 2 tahun warga emas ini lempar najis dari tingkap flat, aktivis masyarakat ini dedah puncanya