Bubar parlimen: Ismail Sabri kena saman

Oleh INFORAKYAT

Bubar parlimen: Ismail Sabri kena saman. Penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago mengesahkan telah menfailkan saman pemula terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen yang dibuat Perdana Menteri Isnin lalu.

”Saya telah memfailkan injunksi untuk menghentikan pilihan raya kerana musim hujan dan banjir akan datang.

”Butiran lanjut akan saya maklumkan,” katanya dalam Facebook.

Saman itu, menurut laporan Berita Harian difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan Pilihan Raya Umum (PRU).

Berdasarkan salinan saman pemula yang difail dan dilihat BH, Charles menuntut supaya satu deklarasi bahawa kuasa yang terletak pada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 55(2), Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilaksanakan mengikut Perkara 40(1) dan (1A).

Bubar parlimen: Ismail Sabri kena saman

Perkara 55(2) membabitkan Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

Peruntukan Perkara 40(1) pula menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

Manakala (1A) adalah sewaktu menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang Persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Beliau juga memohon suatu perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi untuk menghalang defendan ketiga dan ejen, pengkhidmat dan/atau pekerjanya daripada mengambil sebarang langkah untuk mengadakan PRU berdasarkan kepada pembubaran itu termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran sebarang writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 pengeluaran mana-mana notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan/atau daripada memberi kesan kepada mana-mana writ atau notis sedemikian jika dikeluarkan.

Beliau turut menyertakan afidavit sokongan yang antara lain menyatakan antara fakta menyokong saman pemula berkenaan termasuk banjir yang melanda pada Disember 2021 serta bantahan parti-parti yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dalam situasi ketika ini.

BACA:

Kos Umrah naik mencanak lagi

Neelofa geram orang ramai sebar gambar Bilal

Tular tempat cantik macam dalam ‘anime’, rupanya di Kelantan