‘Buat baik dibalas baik’, Individu tinggalkan nota dengan duit ganti rugi lepas terlanggar kereta undang pujian netizen.
“Buat baik dibalas baik”. Tular baru baru ini di laman Facebook, seorang pemuda mencari individu yang telah terseret keretanya hingga mendatangkan kerosakan.
Walaupun tiada pemilik kenderaan sewaktu kejadian, tindakan individu tersebut meninggalkan nota bersama sedikit duit ternyata menjentik hati pemilik kereta dan juga warganet.
Menerusi laman Harian Metro, kisah tersebut telah dikongsikan Hir Niezam yang akhirnya berjaya menemukan individu jujur terbabit. Ikuti laporannya dibawah.
“SAYA minta maaf, saya terseret kereta awak. Ini saja duit yang saya ada sekarang. Sorry (maaf) sebab sikit saja,” itu kiriman nota yang ditinggalkan individu selepas melanggar bampar kereta milik pengusaha restoran, Hir Niezam Nasihin, 31, secara tidak sengaja baru-baru ini.
Selain nota permohonan maaf, individu itu turut meninggalkan wang RM100 sebagai ganti rugi dalam nota yang diselitkan di bahagian pengelap cermin kereta.
Kisah itu mendapat perhatian warganet selepas Hir Niezam memuat naik hantaran di Facebook miliknya 10 Oktober lalu.
Menceritakan kisah itu, Hir Niezam berkata, kejadian berlaku di Taman Sri Gombak, Selangor dua hari sebelum dia memuat naik status berkenaan di Facebook.
“Saya meletak kereta di hadapan sebuah bank dan tidak perasan langsung mengenai kesan calar pada bahagian bampar sehingga membaca nota yang diselitkan di pengelap cermin kenderaan ketika mahu ke tempat kerja.
“Nota itu menyatakan permohonan maaf individu terbabit dan wang RM100 sebagai ganti rugi namun dia tidak meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi.
Nota yang ditinggalkan
“Bagaimanapun, saya dapat menjejakinya selepas perkongsian di Facebook tular di laman sosial dan dia sudah memohon maaf dengan menghantar kiriman mesej serta mengakui tidak sengaja terlanggar bampar kereta saya kerana memandu dalam keadaan tergesa-gesa ketika itu.
“Disebabkan rasa bersalah, dia turut bertanya kepada saya sama ada perlu menambah jumlah wang sebagai ganti rugi atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hir Niezam berkata, dia bagaimanapun nekad memulangkan semula wang ganti rugi yang diterima kerana merasakan individu berkenaan lebih memerlukannya.
Kerosakan pada kereta
“Menerusi perbualan kami baru-baru ini, individu itu memaklumkan dia menetap di Johor dan bukan orang senang.
“Jadi saya tak fikir panjang sebaliknya mengembalikan semula wang itu kepadanya memandangkan dia mengakui memerlukan sejumlah wang untuk membeli keperluan keluarga.
“Kiranya isu itu sudah selesai dan diharap warganet dapat mengambil mesej daripada perkongsian saya di Facebook baru-baru ini daripada sudut positif,” katanya.
Antara komen netizen selepas membaca perkongsian ini.
Jefry JB -Dua dua hati yang tiada nilai. Insan terbaik, kalau i dapat kawan macam ni, seronok. Bukan mudah cari kawan zaman sekarang.
Derchoo Zenwan –Moga yang memohon maaf dan memaafkan dimurahkan lagi rezeki dari ILAHI, hati kau memang mulia anak muda…
Faizal Ahmad –Dari nota yang di tinggalkan serta duit, dari situ pun dah boleh tahu org itu memang jujur susah sangat nak jumpa org macam nie.
Nurul Nabilah –Yang melanggar dan yang dilanggar, sama2 baik hati. Yangg langgar, sempat tinggalkan nota minta maaf sekali dengan duit ganti rugi, yang kena langgar pulak, boleh tolak ansur dan sanggup pulangkan duit tu semula sbb dia rasa org tu lebih memerlukan. Terbaik kedua2nya.
Acier Tomatoman –Aku dulu ade sorang mok cik ni buka pintu kerete smpai kene kereta isteri aku hingga ade sikit kemek, aku tengok dia, dia tengok aku smbil sengeh je. Aku fikir nak tegur ke tak org macam tu, last2 lantak je la walaupun hati bengkak. Huhu
BACA:
Terlibat dengan kes rasuah projek telekomunikasi bernilai RM2 billion, bekas Menteri Kanan ditahan
Hanya kerana tak bersedia galas tanggungjawab sebagai suami, lelaki ini cekik tunang sampai mati