Bon Odori : Idris hanya nasihat bukan mahu batalkan acara – Pas Selangor

Oleh INFORAKYAT

Bon Odori : Idris hanya nasihat bukan mahu batalkan acara – Pas Selangor. Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dipanggil menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam bagi membincangkan perkara berkaitan Festival Bon Odori.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata Sultan Sharafuddin ingin tahu apakah pendirian parti berkenaan terhadap festival yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Shah Alam, petang ini.

“Baginda ingin tahu pendirian kami dalam perayaan Bon Odori, baginda memberi pandangan dan kami juga persembahkan kepada baginda bahawa kami menghormati pendirian baginda.

“Kami memberitahu Tuanku pendirian kami dan yang paling penting, kami memberitahu baginda bahawa kami menyokong peranan istana dalam menyatukan rakyat. Kami tidak mempunyai masalah antara satu sama lain,” katanya kepada New Straits Times (NST), malam tadi.

Terdahulu, Facebook Pejabat Diraja Selangor melaporkan Sultan Sharafuddin menitahkan Yunus menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam.

Pertemuan berkenaan berlangsung kira-kira sejam, menyusuli kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor itu pada 10 Jun lalu yang mengingatkan umat Islam agar tidak mengambil bahagian dalam perayaan Bon Odori.

Bon Odori : Idris hanya nasihat bukan mahu batalkan acara - Pas Selangor

Bon Odori : Idris hanya nasihat bukan mahu batalkan acara – Pas Selangor

Roslan menjelaskan, pendirian PAS sama seperti disuarakan Naib Presidennya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam supaya tidak menyertai perayaan itu.

Katanya lagi, PAS Selangor akur dengan apa dinyatakan Idris yang sekadar berbentuk nasihat kepada umat Islam supaya tidak menghadiri festival terbabit, bukan meminta program itu dibatalkan.

Sebelum ini, Idris menasihatkan umat Islam tidak menyertai program Festival Bon Odori kerana kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati ia mempunyai unsur keagamaan lain dan alasan kebudayaan Jepun semata-mata tidak cukup merit untuk dipertimbang bersama.

Katanya lagi, Dewan Ulama PAS sebelum ini turut memberi nasihat sama kepada Kerajaan Kelantan supaya tidak lagi menyenaraikan tarian Bon Odori sebagai acara persembahan kebudayaan dalam Festival Kebudayaan Kelantan-Jepun 2022 yang diadakan Mei lalu.

Minggu lalu, Sultan Selangor mencadangkan Idris hadir ke festival berkenaan supaya beliau dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya kerana festival terbabit adalah perayaan kebudayaan yang sudah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun lalu.

Baginda berpandangan Bon Odori dirai bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

Festival itu menjadi popular apabila banyak syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor serta menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan dari negara berkenaan, selain merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Ia dilapor mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun, khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi serta produk makanan tempatan, selain dipromosi sebagai hari menyatukan kembali keluarga serta rakan yang sudah lama tidak bertemu.

BACA: 

Menteri gesa orang ramai kurangkan minum teh

TMJ kini Pemangku Raja Johor