Bomba akui minta mangsa banjir kekal dikawasan terkandas kerana gagal didekati

Bomba akui minta mangsa banjir kekal dikawasan terkandas kerana gagal didekati. Pihak berkuasa termasuk bomba, polis dan tentera (ATM) tiba lebih awal di sesetengah kawasan banjir sejak malam pertama bencana pada Jumaat lalu, termasuk di Taman Sri Muda, Shah Alam, namun tidak boleh mendekati mangsa disebabkan arus deras dan berisiko meneruskan tugasan menyelamat.

Memetik laporan FMT, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid berkata, menyedari keadaan berisiko tinggi, pihaknya membuat keputusan meminta mangsa kekal di kawasan terkandas sehingga keadaan reda sedikit.

“Ada tempat kita dah sampai, tapi tak boleh masuk sebab air laju di hadapan kita. Ada video menyatakan agensi kerajaan tak hadir, sebenarnya kita berada di seberang sungai yang menghalang kita ke tempat terjejas,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda.

“Kita ada di sana sejak tengah malam dengan pelbagai agensi, (tetapi) oleh kerana risiko air deras kita nasihat tunggu sehingga siang, pada masa itu arus air turun dan keadaan lebih selamat.”

Katanya, beliau memahami keadaan segelintir mangsa yang berlapar sehingga 12 jam menunggu bantuan, namun pihaknya perlu memastikan keadaan selamat bukan sahaja untuk mangsa, malah anggota penyelamat sendiri.

Bomba akui minta mangsa banjir kekal dikawasan terkandas kerana gagal didekati

“Kalau kita redah dan rentas ketika air deras, dibimbangi berlaku bot terbalik dan lemas. Lebih baik kita mula operasi menyelamat bila keadaan selamat,” katanya.

Menurutnya, air naik mendadak dan tugas menyelamat diteruskan di kawasan yang mereka mampu dekati mangsa.

Beliau juga mengakui ada kelemahan dan mangsa terlepas, terutama pada sebelah malam.

“Kadang-kadang kita sudah sampai ke kawasan mangsa, tapi keadaan gelap dan kita ingat rumah kosong, jadi kita tak perasan, kita nak pecah masuk rumah tak boleh,” katanya.

Beliau juga menegaskan pasukannya tidak memilih kasih dalam memberikan bantuan.

“Kita bantu semua orang, tak ada pilih kasih. Pendatang asing kita pikul, kita tahu nyawa mereka juga berharga, apatah lagi rakyat Malaysia kita cuba sedaya upaya,” katanya.

BACA: Rina dikritik hadir ke pusat pemindahan banjir berkasut tumit tinggi
Nedim nazri kecewa, mangsa tak nak dibantu tapi demand selimut dan gula
Influencer media sosial diwajibkan bayar cukai kepada kerajaan

CATEGORIES