Baru-baru ini timbul satu perbincangan hangat di media sosial berhubung tindakan seorang personaliti terkenal
Beliau yang menamakan anak bongsunya menggunakan nama Malaikat.
Rata-rata pengguna media sosial berpendapat bahawa nama seperti itu tidak patut digunakan
malah ramai yang mengganggap ia terlalu berat untuk ‘dipikul’ oleh anak mereka.
Terdapat juga segelintir pengguna menyifatkan tindakan personaliti berkenaan tidak salah memandangkan nama dipilih buat anaknya itu mempunyai maksud yang sangat baik.
Perbezaan pendapat itu membuatkan seorang pengguna platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter) berkongsi jawapan dari pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai masalah tersebut.
Menerusi artikel yang diterbitkan di laman web jabatan mufti terbabit, pihaknya memaklumkan bahawa hukum menamakan anak dengan nama mana-mana Malaikat adalah harus.
Walau bagaimanapun, perkara ini berbeza untuk empat nama Malaikat iaitu Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil di mana hukum menamakan anak dengan nama tersebut adalah makruh.
“Menurut pandangan kami, mengambil kira larangan bersifat makruh oleh sebahagian ulama daripada menggunakan nama-nama khusus bagi malaikat seperti Jibril dan Mikail.
“Maka kami juga berpandangan bahawa nama-nama tersebut adalah khusus bagi malaikat dan makruh untuk kita menggunakannya. Lebih-lebih lagi kita dapati tiada dalam kalangan para sahabat Baginda Rasulullah S.A.W. menggunakan nama tersebut.
“Adapun bagi nama-nama seperti Malik, hukumnya adalah jelas akan keharusannya. Kerana itu kita dapati sekian ramai para ulama yang menggunakan nama tersebut seperti Imam Malik bin Anas dan sebagainya,” katanya.
Jelas pejabat mufti lagi, nama-nama lain untuk malaikat seperti Malik dan Ridhwan sudah biasa digunakan oleh orang ramai untuk menamakan anak mereka maka tiada kemakruhan padanya.
“Tuntasnya, menamakan anak dengan nama para malaikat hukumnya adalah harus. Kecuali nama-nama yang sinonim dengan nama Malaikat iaitu Jibril, Mikail, Izra’il dan Israfil.” Ulasnya.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan kenduri aqiqah anak kepada seorang personaliti terkenal yang menamakan anak lelaki bongsunya dengan nama ‘Jibril’ di pelbagai platform media sosial.
Baca juga: Selepas 15 tahun akhirnya terdedah siapa sebenarnya pencipta Bitcoin ramai nak tahu