Bola sepak : Bangladesh balas dendam, belasah Malaysia 6-0

Oleh INFORAKYAT

Bola sepak : Bangladesh balas dendam, belasah Malaysia 6-0. Barisan pemain skuad bola sepak wanita negara longlai dijinakkan tuan rumah, Bangladesh dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal apabila tewas 6-0, sebentar tadi.

Keputusan itu, seolah-olah misi membalas dendam berjaya dilunaskan oleh pasukan bola sepak wanita negara berkenaan, selepas pasukan lelaki Bangladesh tewas 1-4 kepada skuad Harimau Malaya pada 14 Jun lalu dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2023.

Biarpun di atas kertas Malaysia memiliki kelebihan berdasarkan kedudukan ranking yang jauh lebih baik daripada Bangladesh iaitu di tangga ke-85 dunia, sementara lawannya di kedudukan ke-146 namun ia tidak menghalang Bangladesh menjinakkan skuad Malayan Tigress.

Sebaik sahaja sepak mula, tuan rumah melancar serangan bertali arus ke gawang Malaysia.

Hasilnya mereka berjaya membuka tirai jaringan menerusi Mossamat Akhi Khatun seawal minit kesembilan, selepas berjaya memanfaatkan peluang di atas kesilapan penjaga gol Malaysia, Azurin Mazlan yang gagal menangkap kemas bola menerusi sepakan sudut.

Bola sepak : Bangladesh balas dendam, belasah Malaysia 6-0

Tidak lama selepas itu, Sabina Khatun pula menghukum barisan pertahanan Malaysia apabila berjaya mengelecek melepasi Azurin untuk ledak gol kedua Bangladesh pada minit ke-25.

Selang empat minit kemudian, Mossamat Akhi Katun menambah koleksi gol peribadi dalam perlawanan itu, dengan memanfaatkan situasi kelam kabut dalam kotak penalti pasukan negara.

Sebelum memasuki bilik persalinan, giliran Mossamat Sirat Jahan meledak gol keempat bagi meletakkan Bangladesh selesa mendahului 4-0.

Bersambung aksi babak kedua, belum sempat Malaysia menyusun strategi untuk bangkit, Monika Chakma menambah derita skuad negara apabila rembatan kencang ke gawang Malaysia pada minit
ke-66 menghasilkan gol kelima.

Anak buah Golam Robbani Choton terus menambah derita skuad wanita negara dan kali ini menerusi jaringan Srimorti Krishnan pada minit ke-73 bagi memastikan pasukannya berpesta gol dalam perlawanan tersebut.

Kedua-dua pasukan akan kembali membuat perhitungan dalam aksi kedua perlawanan persahabatan pada Ahad ini.

BACA:

Orang ramai puji suara Ira Kazar sedap menyanyi, lirik lagu pula tarik perhatian

Tajuddin dipecat dari Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno

Isu Sharnaaz pukul guard, Noor Nabila tahu perkara sebenar terjadi