Biro Undang-undang Amanah gesa kerajaan tetapkan dasar segera terhadap pelarian Rohingya

Biro Undang-undang Amanah gesa kerajaan tetapkan dasar segera terhadap pelarian Rohingya

KANUN melihat isu Rohingya adalah isu negara yang perlu menjadi perhatian segera kerajaan. Isu ini kembali hangat semula berikutan langkah Majlis Keselamatan Negara telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur – Selayang sehingga timbul isu ada beberapa keluarga Rohingya yang tidak diberikan bantuan makanan oleh kerajaan. Isu Rohingya bukanlah isu yang baharu. Malah, pada tahun 2016 sewaktu berlaku krisis Rohingya di Myanmar ramai pihak yang telah memberikan perhatian khusus kepada isu ini.

Pada akhir tahun 2016 itu, mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak bersama-sama Presiden PAS Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang telah membuat satu perhimpunan khas di Kuala Lumpur untuk menyatakan solidariti bersama-sama kaum Rohingya. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah mengumumkan langkah-langkah untuk membantu kaum Rohingya dengan kerjasama negara OIC yang lain. Selain itu, beberapa sesi solat hajat juga telah dilakukan bagi kesejahteraan kaum Rohingya termasuk doa khas yang dibacakan oleh Menteri Hal-Ehwal Agama sekarang.

Isu Rohingya adalah isu kemanusiaan yang perlu ditangani menurut undang-undang Malaysia dan antarabangsa termasuk oleh ASEAN. Kaum Rohingya telah menghadapi kekejaman di negara mereka sendiri dan dihalau daripada kampung halaman mereka sehingga menyebabkan mereka menjadi pelarian ke beberapa buah negara termasuk Malaysia. Ada masyarakat Rohingya di Malaysia yang telah mendapat status pelarian oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan ada yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia.

Selain kaum Rohingya, ada juga pendatang asing lain dari Myanmar yang bukannya berstatus pelarian dan hanya datang ke Malaysia bagi mencari pekerjaan. Ada yang masuk melalui saluran yang sah dan ada yang masuk melalui saluran yang haram. Oleh itu, status pelarian Rohingya dan pendatang asing Myanmar memerlukan tindakan yang berbeza.

Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan menegaskan tiada seorang pun tanpa mengira sama ada orang itu warganegara atau tidak boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya tanpa menurut undang-undang. Perkara 6 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan tiada seorang pun boleh ditahan sebagai hamba abdi.

Justeru, KANUN menuntut kerajaan untuk segera menetapkan dasar terhadap pelarian Rohingya ini sama ada ingin meneruskan cadangan mantan Timbalan Perdana Menteri dahulu atau pun mengambil tindakan untuk mengusir keluar pelarian Rohingya ini. KANUN tidak mahu isu Rohingya ini berada di awang-awangan isu politik sahaja tanpa langkah konkrit diambil sehingga menyebabkan ada pihak yang meraih keuntungan dan menindas pelarian Rohingya.

KANUN berpandangan jika isu Rohingya ini tidak ditangani dengan segera ianya akan merebak menjadi isu fasis dan perkauman yang boleh mendatangkan mudarat dan akan mengganggu ketenteraman awam. Sebarang dasar yang dibuat terhadap isu Rohingya ini perlu mengambil kira aspek perundangan berkaitan imigresen, pekerjaan, kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa.

Dr. Zulqarnain Lukman
Pengerusi KANUN (Biro Undang-Undang)
Parti Amanah Negara
26 April 2020

Sumber: