Restoran nasi lemak terkenal di Kampung Baru yang mengenakan caj RM1 bagi penggunaan bilik makan berhawa dingin
Didapati tidak melakukan sebarang kesalahan, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Kementerian itu berkata pihaknya menyedari gambar yang tular di media sosial menunjukkan resit caj RM1 untuk bilik berhawa dingin bertarikh 5 November lalu.
“Sehubungan itu, satu pasukan penguat kuasa telah dihantar ke restoran nasi lemak terkenal di Kampung Baru
untuk menjalankan pemeriksaan,” jelas kementerian dalam kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan mendapati harga makanan, minuman, dan caj perkhidmatan di restoran itu mematuhi dasar harga terangkum yang ditetapkan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Menurut kenyataan tersebut, pemeriksaan lanjut mendapati caj RM1 bagi bilik berhawa dingin hanya dikenakan kepada pelanggan dewasa, manakala kanak-kanak berusia 10 tahun dan ke bawah tidak dikenakan caj. Selain itu, notis mengenai caj RM1 dipamerkan dengan jelas di pintu masuk dan cermin bilik berhawa dingin, mudah dilihat oleh pelanggan.
“Pekerja restoran juga akan memberitahu pelanggan terlebih dahulu mengenai caj yang dikenakan sebelum mereka memasuki bilik berhawa dingin,” kata kementerian itu.
Tambahnya, menurut pekerja restoran, caj RM1 ini telah dikenakan sejak tiga tahun lalu dan resit diberikan sebagai bukti pembayaran kepada pelanggan yang menggunakan bilik tersebut.
Pemeriksaan di bilik makan berhawa dingin juga mendapati penghawa dingin berfungsi dengan baik dan pelanggan yang menggunakan bilik tersebut sudah dimaklumkan mengenai caj yang dikenakan, tanpa sebarang aduan diterima.
“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa pematuhan tanda harga dan caj di restoran ini adalah jelas dan tiada kesalahan yang dikesan mengikut perundangan yang dikuatkuasakan oleh pihak KPDN,” kata kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, pihak restoran juga dilaporkan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai hantaran viral tersebut sebagai langkah untuk menjaga reputasi restoran berkenaan.
BACA: Cara PU Riz tegur adik ipar bila selak tudung untuk ditonton dalam live undang perhatian netizen