Bila rakyat Malaysia akan mula dapat suntikan vaksin?

Bila rakyat Malaysia akan mula dapat suntikan vaksin?

Hantaran pertama vaksin Covid-19 akan tiba lewat Februari, tetapi bilakah anda akan dapat divaksin?

Sebelum meneliti pelan pelaksanaan imunisasi Covid-19, anda perlu maklum penghantaran pertama vaksin datang daripada Pfizer dan BionTech, yang menunjukkan keberkesanan tinggi, 95 peratus.

Vaksin daripada Pfizer dan BionTech cukup untuk memenuhi keperluan 12.5 juta rakyat Malaysia (dua dos setiap seorang), atau 39 peratus daripada populasi.

Sama ada pelan vaksinasi akan berjalan lancar atau tidak bergantung kepada usaha Malaysia untuk memuktamadkan perjanjian dengan pengeluar vaksin lain termasuk AstraZeneca-Oxford dari UK dan Sinovac dari China, meskipun kedua-dua vaksin ini mempunyai cabaran tersendiri.

Untuk panduan berkenaan vaksin yang bakal digunakan Malaysia, anda boleh baca lanjut di sini. Mari kita mulakan.

Bila saya boleh divaksin?

Itu bergantung kepada anda tergolong dalam kategori mana. Jawapan pendeknya, seperti berikut:

Mac: Petugas barisan hadapan

Mei: Golongan warga emas dan yang berpenyakit

Ogos: Semua yang berusia 18 tahun ke atas

Jawapan panjangnya apa?

Terdapat tiga fasa. Fasa pertama membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan, terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.

Ini termasuklah petugas kesihatan di hospital kerajaan dan hospital berkaitan kerajaan. Hospital swasta terpilih yang merawat Covid-19 juga mungkin terlibat.

Ia bermula Mac dan akan dijangka tamat pada Mei.

Fasa 2 akan melibatkan warga emas, iaitu mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Turut serta, mereka yang menderita morbiditi (pelbagai penyakit) yang selalu dilihat dalam kes kematian Covid-19.

Ini termasuklah penyakit kanser, obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit pernafasan dan penyakit jantung.

Golongan orang kurang upaya (OKU) turut termasuk dalam fasa ini.

Fasa ini akan bermula Mei hingga Julai, membabitkan 6.5 juta orang.

Kejayaan fasa ini sangat-sangat bergantung kepada kemampuan kerajaan untuk memperoleh vaksin daripada pembekal lain kerana kerajaan tidak akan bergantung semata-mata kepada bekalan Pfizer dan BionTech sahaja.

Fasa 3 bermula Ogos hingga akhir tahun. Ia membabitkan 16 juta lagi rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas.

Seperti tadi, kejayaan fasa ini bergantung kepada kemampuan mendapatkan vaksin daripada jenama lain.

Ada juga fasa khas yang merupakan usaha berpanjangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan vaksin secara bersasar pada bila-bila masa, sekiranya ia berasakan perlu berbuat demikian bagi mengawal wabak yang menular di sesuatu kawasan sasaran.

Maknanya, selain pendekatan biasa mengesan kontak rapat, menguji dan kuarantin, kerajaan juga akan menggunakan vaksin bagi mengawal wabak Covid-19.

Itu baru 23 juta daripada 32 juta rakyat Malaysia?

Kerajaan percaya dengan memvaksin lebih 70 peratus populasi, ia cukup untuk mencapai perlindungan kelompok.

Maknanya, dengan sebilangan besar rakyat divaksin, semakin sedikit bilangan perumah yang dapat dijangkiti virus, seterusnya meminimumkan risiko penyebaran jangkitan.

Macam mana saya nak daftar?

Apabila vaksinasi dilancarkan, kerajaan merancang untuk memanfaatkan aplikasi MySejahtera yang pada masa ini digunakan untuk pengesanan kontak dan penilaian kendiri.

Sistem itu akan dikemas kini bagi membolehkan rakyat Malaysia yang layak untuk ikut serta, membuat penilaian kendiri (alahan dan sebagainya) dan membuat temu janji untuk vaksinasi.

Setelah divaksin, mereka akan diberikan kad vaksinasi dan akan diperingatkan mengenai dos kedua mereka menerusi aplikasi berkenaan.

Di mana boleh saya divaksin?

Terdapat lebih 600 pusat menguruskan vaksinasi di seluruh negara.

Lokasi yang akan digunakan termasuklah fasiliti kesihatan awam dan swasta, tempat-tempat awam, pejabat dan universiti.

Perinciannya akan diumumkan kemudian apabila tiba masanya.

Apa lagi perlu diambil perhatian?

Kepentingan untuk vaksin tambahan selain bekalan Pfizer-BionTech mesti diberi penekanan.

Salah satunya, vaksin yang ini memerlukan tempat penyimpanan yang sangat sejuk, bermakna ia tidak sesuai untuk penghantaran di kawasan luar bandar yang jauh.

Bagi memastikan vaksinasi yang saksama, kerajaan perlu juga bergantung kepada jenama vaksin lain yang tidak mempunyai cabaran logistik sesulit vaksin Pfizer-BionTech.

Juga, rancangan kerajaan ini mengambil kira apabila fasa 2 bermula, sudah ada bekalan tambahan vaksin daripada jenama lain.

Jika tempahan lambat tiba daripada dijadualkan, ia akan melengahkan pelan imunisasi, meskipun KKM sepatutnya masih mampu menjalankan fasa 2 dengan bekalan vaksin Pfizer-BionTech.

Tetapi, jenama itu sahaja tidak cukup untuk fasa 3.

Kita boleh jangkakan cabaran dalam hal ini. Contohnya, Malaysia telah menandatangani perjanjian perolehan 12.8 juga dos vaksin AstraZeneca-Oxford.

Bagaimanapun, ia berdepan isu pengeluaran dan Kesatuan Eropah (EU) yang meletak pertaruhan besar terhadap vaksin itu, kini mengancam untuk menghalang eksport jika firma itu gagal menghantar cukup bekalan untuk blok negara berkenaan.

Satu lagi isu ialah Sinovac dari China, yang mempunyai keberkesanan tidak jelas ekoran variasi yang luas antara 50.4 peratus hingga 91.25 peratus dalam ujian-ujian yang berbeza.

Malaysia sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan 14 juta dos daripada Sinovac, namun ia bergantung kepada sama ada vaksin itu memenuhi piawaian atau pun tidak. – MK