Bila PM arah baru Hadi akan ke Timur Tengah – Takiyuddin

Bila PM arah baru Hadi akan ke Timur Tengah – Takiyuddin

Sebagai duta khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak semestinya perlu berada di negara terbabit untuk menjalankan tugas beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jawatan yang disandang Presiden Pas itu sebenarnya tidak sama dengan duta luar negara.

Menurutnya, jawatan yang disandang Ahli Parlimen Marang itu adalah sebagai duta khas kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan bertugas mengikut ketetapan Perdana Menteri.

“Beliau akan beroperasi mengikut yang ditetapkan Perdana Menteri dan pada pandangan saya apabila ada perkara di Timur Tengah beliau (Abdul Hadi) akan diarahkan ke sana.

“Abdul Hadi mungkin akan ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri,” katanya ditemui di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Takiyuddin ketika ditemui media di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, semua ahli Parlimen kerajaan akan dilantik untuk jawatan pengerusi agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Setakat ini katanya, seramai sembilan daripada 18 ahli Parlimen Pas sudah dilantik untuk jawatan penting termasuk lapan menteri dan timbalan menteri dan seorang sebagai duta khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

“Tinggal sembilan orang lagi belum dilantik. Alhamdulillah saya difahamkan semua MP kerajaan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan GLC,” katanya sebagai mengulas pelantikan pimpinan Pas yang akan ke agensi kerajaan Pusat,

Takiyuddin juga menjelaskan terdapat pelantikan dibuat Yang di-Pertuan Agong dan lantikan menteri berkaitan.

Berita Penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/78627/BERITA/Nasional/Abdul-Hadi-ke-Timur-Tengah-jika-diarahkan-PM