Bila kerajaan tak cekap, maka rakyat mula bersuara di media sosial

Bila kerajaan tak cekap, maka rakyat mula bersuara di media sosial

Adalah tidak masuk akal apabila kerajaan membenarkan pasar malam beroperasi namun melarang ahli keluarga berkumpul bersama di rumah terutama semasa sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang berlangsung hari ini.

Itu luahan dikongsikan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berhubung pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) kerajaan yang dilihat tidak jelas malah mengelirukan.

“Meskipun sudah setahun pandemik Covid-19, kepemimpinan negara belum cekap dalam menyediakan SOP yang relevan dan sesuai untuk semua.

“Selepas rakyat menyuarakan penentangan dan tular dalam media sosial, barulah kerajaan terhegeh-hegeh mengubah SOP. Akhirnya kita sentiasa keliru dengan SOP yang berkecamuk di sana ke sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah sebulat suara dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan Tahun Baru Cina diraihkan bersama ahli keluarga dari rumah yang sama.

Pada masa sama, kerajaan turut memberi kelonggaran untuk pasar malam beroperasi namun tertakluk dengan SOP yang ketat.

Mengulas lanjut, kata bekas Timbalan Menteri Industri Utama itu, semua pihak memerlukan struktur kerajaan yang kuat dan proaktif yang masih gagal dibuktikan hingga sekarang.

Katanya, ini didorong dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan merujuk Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut 5.6 peratus sekali gus merekodkan sejarah paling buruk sejak tahun 1998.

“Bagaimana mahu meyakinkan para pelabur sekiranya merangka SOP perayaan pun kerajaan kelam kabut. Saya memikirkan nasib rakan-rakan kita yang kehilangan punca pendapatan, besar ujian mereka.

“Saya faham nasib golongan yang hilang punca pendapatan akibat perniagaan merosot dan banyak juga yang lingkup. Setahun yang lepas saya bergaji timbalan menteri, sekelip mata hilang pendapatan tersebut.

“Alhamdulilah masih ada gaji Ahli Parlimen dan dapatlah membantu rakyat,” katanya.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/covid-19/2021/02/larang-ahli-keluarga-berkumpul-tetapi-pasar-malam-boleh-pula/