Biar akar umbi tentukan masa depan Bersatu, bukan individu dari UMNO

Biar akar umbi tentukan masa depan Bersatu, bukan individu dari UMNO

Adakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan biarkan anggota parti menentukan masa depan Bersatu, bukannya individu tertentu dari Umno, kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut anggota parlimen Muar itu, EGM wajar diadakan sebagai jalan membawa Bersatu keluar daripada kemelut dalaman yang melanda sekarang.

Jika pihak yang menolak kerjasama Bersatu dengan Umno dan BN itu akan dihukum pun, kata Syed Saddiq, biarlah ia dilakukan oleh anggota parti di peringkat akar umbi.

“Biarkan masa depan Bersatu ini ditentukan oleh akar umbi. Kalau betul kami tidak ada sokongan, biarlah kami dihukum tangan ahli akar umbi sendiri, bukan orang yang dulu Umno dan kini masuk Bersatu,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Syed Saddiq – yang statusnya sebagai ketua Pemuda Bersatu (Armada) dipertikaikan – berkata desakan untuk mengadakan EGM itu turut disokong lebih 230 orang pemimpin sayap parti terbabit.

Untuk rekod, Bersatu sepatutnya mengadakan AGM pada 20 Jun ini. Apa yang lebih menarik perhatian ialah, ia juga menjadi detik pertama Bersatu membuat pemilihan selepas ia ditubuhkan menjelang pilihan raya umum lebih dua tahun lalu.

Parti itu kini berpecah dua dengan masing-masing kumpulan menyokong Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.

‘Belajar’ dari perlembagaan Umno

Syed Saddiq adalah antara pemimpin Bersatu yang menyatakan secara terbuka untuk berada di belakang Mahathir.

Sementara itu, mengulas berkenaan pengguguran keanggotaan beliau daripada Bersatu, Syed Saddiq menjelaskan ia dibuat secara tidak adil dan tidak bersandar kepada fakta yang betul.

Tambahnya, ketika merangka Perlembagaan Bersatu sebelum ia didaftarkan dulu, hak untuk mempertahankan diri memang diberi keutamaan kepada setiap ahli dan pemimpinnya.

Jelasnya lagi, Perlembagaan Bersatu tidak pernah memberi hak secara mutlak kepada mana-mana pihak untuk memecat dan menggugurkan keahlian seseorang.

“Sebab perlembagaan ini dibuat berdasarkan pengalaman Muhyiddin selepas dia dilucutkan jawatan sebagai timbalan presiden Umno. Dia tidak dipanggil ke lembaga disiplin dan meminta untuk membuat pendirian.

“Apabila kami rangka perlembagaan (Bersatu) klausa (yang memberi hak mutlak mana-mana pihak menggugurkan keahlian) seperti dalam perlembagaan Umno tidak ada pada kami,” katanya lagi.

Selain Syed Saddiq, turut dianggap gugur keanggotaan mereka ialah Mahathir sendiri; Timbalan Presiden Bersatu, Muhkriz Mahathir; dan dua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/528020

COMMENTS