Betul ke? Sabun mandi refill lagi jimat dari yang botol?
Dalam diri manusia, terdapat satu sifat yang dipanggil sebagai sifat ingin tahu.
Ada kalanya sifat tersebut membawa ke arah kebaikan namun, sekiranya tidak bernasib baik, ia membawa ke arah keburukan.
Kadang-kadang sifat ingin tahu ini timbul apabila kita berdiam diri memikirkan ke hadapan mengenai perkara-perkara biasa, sebagai contoh terdekat, bagaimana pekerja kawasan rehat dan rawat (R&R) hadir ke tempat kerja?
Kemudian, kita mula mencari jawapan kepada persoalan tersebut dan selepas mengetahui hal yang sebenar, perasaan lega itu sangat diibaratkan beban di bahu telah tiada.
Cerita ini juga bersangkut paut dengan seorang pemuda bernama Syafiuddin Baharudin (@alongllo) di mana dia sanggup mengira jumlah sabun mandi yang dipicit, semua gara-gara ‘ingin tahu’.
Tidak semua ingat kepada formula matematik, dengan alasan sudah lama meninggalkan zaman belajar, dan hanya mengingati operasi bercampur, seperti tambah, tolak, darab, bahagi dan kurungan.
Jadi, pernah tak anda terfikir sebenarnya, sabun yang diisi semula ini jimat atau tidak? Mari kita huraikan perkongsian video yang dibuat oleh Syafiuddin, untuk mengetahui jawapan tersebut.
Katanya, buah fikiran itu timbul semasa dia mengisi sabun isi semula (refill) ke dalam botol sabun mandi yang sering digunakan olehnya..
@alongllo Sabun di bilik mandi 😬 #matematikmudah #sabun #math ♬ original sound – Syafiuddin Baharudin
Video itu terjadi selepas hatinya berbisik begini, ‘Berapa kali kita boleh pakai untuk satu paket sabun ini?’
Disebabkan ia melibatkan pengiraan isipadu, Syafiuddin menggunakan formula isipadu silinder, iaitu V = π r2h untuk mengira isipadu satu pam sabun.
Dia menggunakan bekas yang dilihat seperti minuman ubat batuk kerana satu pam sabun itu adalah sedikit.
Setelah memicit sabun itu, kita diperlukan untuk mencari radius dan tinggi untuk satu pam sabun.
Kiraan satu pam sabun refill
“Tinggi sabun ialah 1 centimeter (cm), kemudian radius ialah 1.25cm.
“Masukkan dalam formula isipadu silinder, dan akan dapat 4.9107 cm3,” katanya dalam klip itu.
Pengiraannya mudah kerana ia sudah mempunyai formulanya yang sendiri dan hanya perlu masukkan apa yang diperlukan.
Formula isipadu: V = π r2h
22/7 (1.25)2(1)
= 4.9107 cm3
Sabun yang digunakan oleh Syafiuddin mempunyai isipadu sebanyak 850 mililiter (ml).
Kemudian, isipadu penuh (850ml) itu tadi, dibahagikan dengan isipadu sepicit sabun (4.9107) dan akan mendapat jumlah 173.09.
850/ 4.9107
= 173.09
Jumlah pam untuk satu paket sabun ialah 173 dan sekiranya satu hari hanya menggunakan satu pam sabun, maka jumlah itu akan kekal.
“Kalau pakai dua picit sehari, sabun tersebut akan tahan selama 86 hari.
“Kalau tiga picit, bertahan 57 hari. Kiranya jimat juga kalau pakai refill ini, baru boleh mandi dengan tenang,” jelasnya.
Jadi di sini, semuanya sudah jelas bahawa sabun refill itu adalah jimat kerana ia tahan berbulan-bulan walaupun menggunakan tiga pam dalam sehari.