Bersediakah Kita Menerima Keputusan Inkues Dengan Hati Terbuka?

Mengambil kira kecenderungan dan keprihatinan masyarakat sekarang yang kebelakangan ini begitu berminat mengikuti perjalanan inkues kematian terutamanya dalam kes yang berprofil tinggi, maka adalah amat penting untuk memastikan penyiasatan dan prosiding inkues dijalankan dengan cepat dan lancar. Kegagalan atau kelewatan dalam mengadakan proses siasatan kematian dan inkues kematian boleh mengundang pelbagai spekulasi dan tanggapan negatif masyarakat terhadap institusi yang terbabit, terutamanya pihak polis, mahkamah dan pendakwa raya. Tanggapan dan spekulasi negatif ini, jika tidak ditangani dengan berkesan boleh menjejaskan integriti dan ketelusan pihak yang berkenaan, serta mencetuskan insiden-insiden yang tidak disenangi masyarakat. Sekali gus keadaan ini turut memberikan kesan negatif kepada keberkesanan sistem keadilan di negara ini. Oleh itu, adalah penting untuk setiap pihak yang terbabit melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan efektif bagi memastikan kelancaran proses penyiasatan kematian dan prosiding inkues

Apa itu inkues?

Prosiding inkues sebenarnya bukan sesuatu yang luar biasa. Ia sebenarnya sudah termaktub dalam undang-undang jenayah negara, di bawah Kanun Acara Jenayah (KAJ), Bahagian VIII. Menurut undang-undang itu, apabila siasatan menunjukkan bahawa kematian itu disebabkan oleh kekerasan atau disebabkan oleh orang lain, maka suatu bedah siasat (post mortem) harus dilakukan.

Black’s Law Dictionary mendefinisikan inkues kematian seperti yang berikut:

An inquiry by a coroner or medical examiner, sometimes with the aid of jury, into the manner of death of a person who has died under suspicious circumstances, or who has died in prison.

Bab XXXII KAJ menggunakan perkataan “siasatan kematian” sebagai tajuk bab. Jika diteliti peruntukan dalam bab ini, maksud siasatan kematian di sini bukan sahaja merujuk prosiding inkues kematian, tetapi juga merangkumi proses siasatan dan penelitian fail siasatan kematian.

Tidak semua kes kematian memerlukan prosiding inkues kematian. Sebaliknya, prosiding inkues kematian hanya akan diadakan dalam kes tertentu, iaitu apabila wujud keperluan bagi menentukan punca sebenar kematian.

Apabila terdapat sesuatu kematian yang agak meragukan, keputusan post mortem yang telah dijalankan itu akan diberikan kepada seorang majistret. Melainkan majistret berpuas hati tentang punca kematian tersebut, majistret tersebut harus mengadakan inkues mengikut peruntukan Kanun Acara Jenayah.

Pada masa sama, Peguam Negara juga punya kuasa untuk mengarahkan majistret untuk mengadakan inkues, atas alasan-alasan yang sama.

Prosiding inkues mesti berlangsung di mahkamah, tetapi ia berlainan dengan prosedur mahkamah yang biasa. Pertamanya, dalam prosiding inkues tiada ‘tertuduh’. Hanya ada saksi-saksi yang membantu inkues, yang disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya dan juga peguam-peguam yang mewakili ‘pihak-pihak berkepentingan’.

Siapa ‘pihak berkepentingan’?

Antaranya, keluarga si mati, dan juga pihak berkuasa (seperti polis). Juga termasuk pihak-pihak lain, yang ditentukan oleh koroner. Dalam kes arwah Adib, ia termasuklah pihak bomba sendiri. Mengikut laporan, jawatankuasa kuil juga telah memohon untuk menjadi ‘pihak berkepentingan’, tetapi telah ditolak oleh mahkamah.

Kedua, dalam inkues, hanya timbalan pendakwa raya dan peguam pihak berkepentingan boleh mengajukan soalan-soalan kepada saksi-saksi yang hadir. Inkues bukan suatu prosiding di mana ada pihak bertentangan atau berlawan. Tujuan inkues adalah hanya untuk mendapat tahu apa yang berlaku melalui saksi-saksi.

Menariknya, prosiding inkues adalah terbuka kepada awam. Sesiapa sahaja boleh hadir untuk melihat prosiding yang sedang berlangsung. Oleh itu, ia membolehkan orang ramai melihat dan mendengar sendiri keterangan saksi-saksi, tanpa perlu menunggu laporan-laporan berita.

Tugas Koroner

Semasa inkues, koroner mesti setakat mampu membuat dapatan mengenai perkara-perkara seperti siapa si mati, bagaimana si mati meninggal dunia, bila si mati meninggal dunia, di mana si mati meninggal dunia, siapa yang menyebabkannya meninggal dunia dan sekiranya ada sesiapa yang membuat apa-apa tindakan yang menyebabkan kematian si mati, tanpa membuat dapatan tentang liabiliti jenayah.

Dalam kes Pihak Pendakwa lwn Shanmugan, Hakim Mahkamah Tinggi menegaskan bahawa tugas majistret semasa mengendalikan inkues kematian adalah untuk bertindak sebagai koroner bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian si mati. Hakim Suriyadi menjelaskan seperti yang berikut;

The magistrate court had assumed the powers and duties of a coroner’s court. A coroner’s inquest was a court of law, though not a court of justice, because it was essentially set up to investigate and ascertain the cause of death. Apart from being shackled by a limited mandate, a coroner was also not bound to follow the usual procedure of law courts. The position of the magistrate in the instant case was no different to that of a coroner when holding an inquiry of death, and thus, the magistrate was similarly not bound by the usual procedure of courts of law and normal rules of evidence.

Di akhir prosiding, koroner mesti membuat keputusan di antara tiga; keputusan terbuka (open verdict), kemalangan (misadventure) atau kematian disebabkan oleh orang, atau orang yang tidak diketahui.

Di samping itu, koroner juga bertanggungjawab menentukan sama ada wujud elemen jenayah berhubung dengan kematiannya itu. Dalam kes Re Loh Kah Kheng, mahkamah menerangkan peranan dan fungsi koroner seperti yang berikut:

It must be remembered that the function of a magistrate holding an inquiry is to inquire when, where , how and after what manner the deceased cameby his death and also whether any person is criminally concern in the cause of such that. The “cause of death” is defined under section 328 to include not only the apparent cause of death as ascertainable by inspection or post mortem examination of the body of the deceased, but also all matters necessary to enable an opinion to be formed as to the manner in which the deceased came by his death and so as to whether his death in any way from, or was accelerated by any unlawful act or omission on the part of any other person.

Dengan kata lain, koroner perlu memutuskan sama ada wujud unsur jenayah dalam kes kematian tersebut. Walau bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa bidang kuasa koroner dalam prosiding inkues kematian bukanlah bersifat mutlak tetapi tertakluk pada batasan tertentu. Undang-undang telah meletakkan batasan pada bidang kuasa koroner, iaitu tidak berhak menzahirkan secara spesifik tanggungjawab jenayah mana-mana individu dalam kes kematian tersebut.

Terima dengan hati terbuka

Ironinya, hampir mustahil sama sekali, untuk menyembunyikan kebenaran melalui prosiding terbuka seperti ini, apatah lagi apabila terdapatnya pihak-pihak berkepentingan dan ia terbuka kepada awam. Maka, prosiding inkues adalah cara yang paling terbuka dan telus untuk menentukan apa sebenarnya yang berlaku pada malam rusuhan dan kecederaan arwah Adib yang membawa kepada kematian tragikya.

Kita semua mahukan keadilan buat arwah Adib. Tidak ada sesiapa anatara kita yang ingin mempersia-siakan perjuang negara ini.Jadi, untuk menentukan siapa yang perlu bertanggungjawab ke atas kematian arwah, inkues ini adalah cara yang terbaik untuk memastikan keadilan buat Adib.

Anak Malaysia