Bersatu Perak anggap tindakan Umno satu pengkhianatan yang jelas

Bersatu Perak anggap tindakan Umno satu pengkhianatan yang jelas

UMNO dikatakan meminta untuk membuat pertemuan dengan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak hari ini, selepas kemelut yang tercetus di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu semalam.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, bagaimanapun buat masa ini pihaknya mengambil sikap bertenang terlebih dahulu.

Beliau menyifatan, ‘luka di hati’ mereka masih belum sembuh.

“Di peringkat Bersatu, sebenarnya kami tidak mempunyai apa-apa masalah untuk berbincang dan juga untuk mencari kata sepakat yang terbaik khususnya dalam membentuk kerajaan dan mentadbir negeri.

“Apa yang berlaku sejak Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) memimpin negeri daripada Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN), saya melihat kita cuba melaksanakan tugas dan amanah ini walaupun di peringkat awal Bersatu hanya ada satu kerusi.

“Apa yang berlaku semalam adalah sesuatu yang di luar jangkaan, tanpa ada perbincangan rasmi… dan menariknya hari ini baru nak panggil berbincang. Lepas keputusan dibuat baru nak panggil berbincang,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.

Tanpa berselindung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu mengakui mereka kecewa dengan penolakan terhadap ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Pada kami, ia merupakan satu pengkhianatan yang agak jelas. Satu usul berbunyi percaya tapi tidak diimplementasi sebegitu rupa.

“Buat masa ini kita ambil pendirian untuk tunggu dan lihat walaupun kita sudah tahu Pas telah keluarkan kenyataan rasmi tidak akan bersama UMNO untuk membentuk kerajaan.

“Saya yakin UMNO tidak mempunyai kerusi yang cukup untuk menubuhkan kerajaan di Perak,” ujarnya.

Tambah beliau, buat masa ini Bersatu Perak menunggu arahan selanjutnya daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya dimaklumkan Ahmad Faizal selaku Timbalan Presiden Bersatu akan berjumpa Presiden dan akan keluarkan arahan selanjutnya… yang wajar dilakukan Adun mewakili Bersatu.

“Dijangka hari ini atau esok,” katanya apabila ditanya bila perjumpaan itu akan diadakan.

Berita penuh : https://beritaperak.com/dah-buat-keputusan-baru-nak-ajak-berbincang-bersatu-perak/

COMMENTS