Bersatu mati sekiranya Umno tampil kempimpinan baru lebih bersih – Kadir Jasin

Bersatu mati sekiranya Umno tampil kempimpinan baru lebih bersih – Kadir Jasin

Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin, berkata apa yang diperlukan oleh Umno ketika ini ialah menyingkirkan pemimpin mereka yang “korup” dan bermasalah.

Selepas itu katanya Umno perlu mengisi tempat tersebut dengan tokoh yang bersih muda dan berwibawa.

Dalam keadaan begitu, kata Tokoh Wartawan Negara terbabit, bukan saja harapan Umno untuk pulih seperti sebelum ini akan lebih cerah, malah memudarkan potensi Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Tapi kalau pucuk pimpinan Umno terus hipokrit dan setia kepada bos-bos yang bermasalah, parti itu akan ditolak oleh akar umbinya sendiri,” kata A Kadir dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Hubungan Umno dan Bersatu kini dilihat sangat bermasalah di sebalik hakikat kedua-dua parti itulah yang membentuk kerajaan PN bersama sokongan PAS serta parti dari Sarawak dan Sabah.

Majlis Tertinggi (MT) Umno sudah menerima usul menamatkan kerjasama berkenaan dan hanya menunggu masa untuk resolusi itu disahkan oleh perhimpunan agung parti berkenaan.

Bersatu kini dipimpin presidennya Muhyiddin Yassin yang sebelum ini dipecat daripada Umno kerana bersikap lantang terhadap Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Pada masa sama sejumlah ahli parlimen Umno sudah menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin menjadikan keabsahan ahli parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri dipertikaikan.

A Kadir adalah antara sebahagian tokoh Bersatu yang meninggalkan parti itu kerana tidak bersetuju dengan langkah Muhyiddin menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Feb tahun lalu.

Ada kuasa, ada duit pun kalah

Kata A Kadir antara pemimpin Umno yang bermasalah itu ialah Najib sendiri serta presiden sekarang, Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang dibicarakan di mahkamah.

“Jadi adakah kepercayaan kepada Umno sekarang lebih baik? Tentunya tidak.

“Tetapi kalau Umno menyingkirkan pemimpin yang korup dan bermasalah dan menggantikannya dengan yang lebih bersih, muda dan berwibawa, harapan Umno pulih adalah lebih cerah dan sekali gus memudarkan prospeks Bersatu/PN,” katanya.

Najib disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) pada Julai tahun lalu.

Ahmad Zahid pula berhadapan dengan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Kenyataan A Kadir itu hadir selepas Umno dilaporkan membuat keputusan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu serta PN sebaik saja darurat berakhir.

Laporan yang memetik sumber itu berkata Ahmad Zahid membuat ketetapan itu dalam mesyuarat MT Umno yang berlangsung di Janda Baik, Pahang, pada Jumaat lalu.

A Kadir turut menceritakan komunikasinya dengan seorang rakan di Facebook yang menulis mengenai Umno.

Katanya dia menasihati rakannya itu supaya menyingkirkan “golongan kleptokrat” yang didapati bersalah dan yang sedang dibicarakan, kemudian memilih pemimpin yang bersih.

Kemudian katanya barulah ramai orang Melayu akan berjinak-jinak semula dengan Umno kerana mereka sebenarnya benci kepada pemimpin Umno terbabit.

“Dalam PRU 2018 Umno kalah kerana dakwaan rasuah terhadap Najib, isterinya Rosmah Mansor dan beberapa orang pemimpin parti itu.

“Ketika itu Najib masih berkuasa, ada banyak duit dan bebas daripada tindakan undang-undang. Itu pun Umno kalah,” katanya.

A Kadir juga menulis pesanan kepada salah seorang anggota MT Umno: “Najib punca Umno kalah. Ahmad Zahid akan menyebabkan Umno mati.”

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/563866