Berniaga semua rugi, ber’NAFAS’ harap kilang baja padi dedah AJP Nafas

Oleh DAHLIA MARZUKI

Seorang anggota jemaah pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) meluahkan isi hatinya

Di tengah kontroversi dakwaan penggantungan pengurus besar, Faris Arriffin, yang didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dana.

Mohamad Zamir Ghazali dalam kenyataan panjangnya menggambarkan badan induk persatuan peladang itu sebagai gagal dalam pelbagai bidang.

“Berniaga ayam rugi. Ternak ayam rugi. Jual jentera rugi.

Bina kolej sendiri rugi. Buat pemasaran produk asas tani rugi.

Berniaga semua rugi, ber'NAFAS' harap kilang baja padi dedah AJP Nafas

“Sewakan bangunan rugi. Lekat hutang sana sini,” katanya, yang juga bekas calon Pakatan Harapan di Batu Burok, Terengganu.

‘Nyawa’ pada kilang baja padi

Dalam kenyataannya hari ini, Zamir menyatakan bahawa “nyawa” Nafas hanya bergantung kepada kilang baja padi.

“Itu pun sebab dilindungi. Kalau bersaing terbuka, alamatnya akan tersembam di pintu syurgawi,” sindirnya.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan dakwaan penggantungan Faris, yang juga ketua Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan. Nafas menafikan dakwaan itu melalui kenyataan media atas nama AJP dan menegaskan bahawa kenyataan rasmi hanya dikeluarkan melalui bahagian komunikasi korporatnya.

Pejabat Pendaftaran Pertubuhan Peladang pula menyatakan bahawa penggantungan pengurus besar tidak boleh dikuat kuasa sehingga keputusan muktamad dikeluarkan oleh pendaftar.

Komunikasi Korporat Nafas telah membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan tersebut, dan Faris pula mengeluarkan surat tuntutan guaman (LOD) berkaitan isu itu.

‘Gah untuk dilihat korporat’

Sementara itu, Zamir menyatakan bahawa walaupun menerima ehsan, subsidi, dan hak autonomi daripada kerajaan, nasib Nafas tidak banyak berbeza dengan pesawah dan petani miskin.

Bezanya, katanya, Nafas dilihat gah sebagai sebuah entiti korporat.

“Buat baja dan jual baja adalah eksklusif. Tender bekal ayam adalah kuota tetap. Pendek kata, modal kerajaan bagi. Pasaran kerajaan sedia. Laluan pembekalan kerajaan hidang. Tanpa persaingan hakiki.

“Dan yang ironis, ia rugi. Rakyat di luar berniaga dengan duit sendiri. Nafas berniaga dengan duit rakyat dan masih boleh rugi. Sungguh nakal,” katanya.

Zamir menegaskan bahawa Nafas perlu melalui reformasi institusi supaya menjadi seperti syarikat negara lain seperti Khazanah Nasional, Petronas, dan Guthrie.

“Kami mahu Nafas menjadi Perbadanan Agro Negara.

“Kami tidak mahu menjadi petani hakiki seperti ahli GISB. Yang kaya dan senang hanyalah mereka di atas dengan gelaran AJP. Berlagak dengan nada suara dan uniform konon wakil petani.

“Sedangkan realiti petani di bawah adalah kuli. Kekal miskin dan merintih saban hari. Tanya diri anda sendiri, apa bezanya dengan GISB?” katanya.

Nafas adalah entiti di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang diterajui oleh Mohamad Sabu, yang juga presiden Amanah. Ia dianggotai oleh 14 pertubuhan peladang negeri, yang mempunyai 279 pertubuhan peladang kawasan dengan keanggotaan lebih 900,000 orang.

Nafas terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan dan pelaburan, khususnya dalam bidang pertanian, dan mempunyai banyak syarikat.

BACA: Rupanya lelaki melayu yang letak kepala khinzir di gerai roti canai?