Boleh dikatakan hampir seluruh rakyat Malaysia mengenali jenama kambing perap terkenal, Pak Mat Western.
Gaya pemasaran yang digunakan oleh Pak Mat Western memang sukar ditandingi, menjadikannya popular di kalangan ramai.
Pengguna media sosial sering memuji strategi pemasaran Pak Mat Western yang selalu bersemangat dan berinovasi.
Mereka juga sering berteka-teki tentang bajet yang diperuntukkan untuk pemasaran jenama ini, yang pastinya memerlukan jutaan ringgit, memandangkan setiap iklan yang dihasilkan mempunyai jalan cerita unik dan menampilkan selebriti terkenal.
Selain gaya pemasaran yang menarik, identiti sebenar pemilik jenama Pak Mat Western juga sering menjadi misteri dan topik hangat di kalangan warganet.
Identiti pemilik Pak Mat Western menjadi sebuah misteri, sehingga ada yang menganggap pemilik jenama ini adalah seorang perempuan, disebabkan oleh pemasaran yang mantap.
Dalam platform media sosial, wajah yang sering tampil adalah seorang gadis muda yang petah di hadapan kamera.
Walaupun melawat laman web rasmi jenama ini atau mencari maklumat di internet, wajah pengasasnya sukar ditemui. Jadi, siapa sebenarnya pemilik jenama terkenal ini?
Ramai yang tidak tahu bahawa Pak Mat Western sebenarnya adalah perniagaan milik adik-beradik. Nama Pak Mat diambil daripada nama bapa mereka yang asalnya seorang tukang gunting rambut. Oleh kerana nama Pak Mat, ada yang menganggap pemiliknya seorang lelaki tua.
Namun, beberapa sumber mengatakan bahawa adik-beradik yang mengasaskan jenama ini masih muda, dalam lingkungan usia 30-an. Hebatnya mereka mengendalikan bisnes sehingga mampu mencapai jualan jutaan ringgit!
Siapa sangka bahawa bisnes daging perap bernilai jutaan ringgit ini bermula daripada kedai gunting rambut kecil sahaja? Perniagaan ayah mereka bertukar menjadi kedai makan selepas diambil alih oleh anak-anaknya. Pada tahun 2013, perniagaan ini bermula secara kecil-kecilan daripada warung dengan 6 meja sahaja.
Namun, hidangan western yang lazat dengan harga mampu milik yang ditawarkan oleh Pak Mat Western berjaya menarik perhatian pelanggan di sekitar Bukit Minyak, Pulau Pinang.
Keenakan hidangan Pak Mat Western menjadi tular sehingga ada yang sanggup datang dari luar Pulau Pinang untuk menikmati sajian barat di warung tersebut.
Dengan sambutan yang menggalakkan, jenama Pak Mat Western mula berkembang dengan membuka restoran di beberapa negeri lain seperti Johor, Kedah, dan Perak. Setiap cawangan mereka dikatakan wajib dikunjungi oleh sekurang-kurangnya 500 pelanggan setiap hari!
Selain itu, premis makanan ini turut mempunyai express mart di Alor Setar dan Perak untuk pesanan makanan dalam talian atau bawa pulang.
Langkah mereka untuk mencapai pelanggan melalui jualan produk homemade sejuk beku juga merupakan strategi penting bagi jenama ini. Dengan ribuan ejen di seluruh negara, Pak Mat Western kini menjadi jenama daging perap nombor satu di Malaysia.
Kini, Pak Mat Western yang menjadi kebanggaan warga Pulau Pinang telah dikenali di seluruh Malaysia, berkat pemasaran yang cemerlang. Ramai yang turut memuji kualiti dan keenakan produk Pak Mat Western yang dijamin segar, lazat, dan mampu dinikmati dengan harga yang berpatutan.
BACA: Content ada unsur ‘Pedo’? Menteri arah JPKK buat laporan polis terhadap pemilik Tiktok ‘Abang Bas’