Berlian seberat 2,492 karat, yang merupakan yang kedua terbesar di dunia, ditemukan di Botswana, menurut s
yarikat perlombongan berpangkalan di Kanada yang menjumpai batu berharga tersebut. Penemuan ini diumumkan pada Khamis lalu.
Berlian itu ditemui di Lombong Berlian Karowe di timur laut Botswana menggunakan teknologi sinar-X, kata Lucara Diamond Corp dalam satu kenyataan.
Lucara tidak memberikan anggaran nilai penemuan tersebut. Dari segi karat, berlian ini adalah yang kedua terbesar selepas Berlian Cullinan seberat 3,016 karat yang ditemukan di Afrika Selatan pada tahun 1905.
“Kami sangat gembira dengan penemuan berlian 2,492 karat yang luar biasa ini,” kata Presiden Lucara Diamond Corp, William Lamb, dalam kenyataan tersebut.
Pengarah Urusan Lucara Diamond Corp Botswana, Naseem Lahri, telah menyerahkan batu berlian yang sebesar tapak tangan itu kepada Presiden Mokgweetsi Masisi di pejabatnya pada Khamis.
Botswana adalah salah satu pengeluar berlian terbesar di dunia. Berlian menyumbang 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu dan 80 peratus daripada eksportnya, menurut data Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Akhbar Financial Times melaporkan bahawa individu yang rapat dengan Lucara Diamond Corp, tetapi enggan dikenali, menganggarkan bahawa berlian itu mungkin bernilai lebih daripada AS$40 juta (kira-kira RM175 juta).
Lucara Diamond Corp juga menyatakan bahawa mereka membayar royalti sebanyak 10 peratus daripada nilai jualan kasar berlian yang dihasilkan dari Karowe kepada kerajaan.
BACA: Pemimpin UMNO cadang pindah Kuala Lumpur ke lokasi lain, cadang tukar nama ‘Tanpa Lumpur’