Berlaku adil, jangan terlalu percaya kepada sesiapa dalam politik

Berlaku adil, jangan terlalu percaya kepada sesiapa dalam politik

Dalam politik, anda tidak perlu terlalu mempercayai sesiapa. Percaya pada diri sendiri, dan percaya setiap orang berhak diperlakukan secara adil. Pilihan anda hanya satu, memilih jalan yang anda yakin benar. Anda tidak perlu bimbang sekiranya perlu bersengketa dengan orang lain, tapi anda mesti berdamai dengan consience dan jiwa naluri anda sendiri. Anda boleh tidur malam dengan tenang tanpa dicengkam rasa bersalah kerana menzalimi orang lain. Itu paling penting!

Lagi besar kuasa dan pengaruh seorang tokoh politik, lebih sukar untuk beliau dipercayai. Kenapa? Bukan kerana ahli-ahli politik ini semuanya jahat. Bukan juga kerana mereka semua suka khianat.

Politik itu sendiri sifatnya ialah menseimbangkan kepentingan dari kelompok masyarakat yang pelbagai dan seringkali saling bercanggah diantara satu sama lain. Lagi besar kuasa dan pengaruh seorang tokoh politik, lagi besar lingkaran kepentingan dan lagi tajam percanggahannya.

Tidak ada manusia yang mampu memenuhi kehendak dan impian semua orang. Sumber terhad, permintaan pelbagai. Ada kalanya dia mesti memilih korban. Ibarat seorang doktor yang mempunyai lima orang pesakit kritikal tetapi cuma ada dua alat pernafasan. Dia hanya mampu memilih untuk membantu dua orang. Tiga lagi akan terpaksa dikorbankan.

Doktor itu bukan pembunuh, dia sekadar terpaksa memilihkan korban. Tokoh politik juga begitu, bukan dia curang tetapi dia cuma terpaksa memilih korban. Golongan yang biasa menjadi korban orang politik ialah dua kelompok: Orang yang terlalu hampir dengannya dan orang yang terlalu jauh dengannya.

Mahathir, Anwar, Najib, Azmin, Muhyidin, Zahid, dan ramai lagi ini dulunya orang-orang yang sangat rapat antara satu sama lain. Mereka saling berkorban dan mengorbankan antara satu sama lain.

Kita pun tidak tahu bila dan bagaimana kita akan menjadi korban dalam equalibrium kepentingan politik yang rumit, berselirat, dan kompleks ini.

Hidup ini ibarat roda. Ada kalanya kita diatas. Ada kalanya kita di bawah. Ada kalanya kita terpaksa memilih korban. Ada kalanya kita menjadi korban. Orang-orang besar di atas juga begitu.

Hidup kita seharusnya dibina naratifnya oleh diri kita sendiri. Kita mesti ada keyakinan dan keupayaan mandiri. Jangan terlalu bergantung dengan orang politik. Hari ini anda berkorban untuk seseorang, esok belum tentu anda tidak akan dikorbankan oleh orang yang sama. Bukan kerana orang itu jahat, tetapi setiap hari kerjanya memang begitu. Beliau terpaksa memilih korban. Dan kalau diperincikan betul-betul, boleh sahaja dia berhujjah bahawa dia telah memilih korbannya dengan adil dan saksama.

Eko-sistem politik dan kehidupan itu memang begitu barangkali.

Sumber:

COMMENTS