Berkecai hati ini apabila pengorbanan untuk orang yang tersayang tidak dihargai.

Oleh DAHLIA MARZUKI

Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa melalui satu hantaran di laman X apabila teman wanitanya terlalu sibuk sehingga tidak mempunyai masa untuknya.

Mereka menjalani hubungan jarak jauh (PJJ), menyebabkan pertemuan hanya berlaku sekali-sekala apabila berkesempatan.

Lelaki itu berkongsi bahawa kali terakhir dia bertemu teman wanitanya adalah tiga bulan lalu.

Rindu yang mendalam mendorongnya membuat rancangan untuk melawat teman wanitanya di Kuala Lumpur.

“Aku sanggup datang seorang diri, tempah hotel untuk tiga hari, dan rancang itinerari tempat-tempat menarik yang ingin dikunjungi bersama.

Berkecai hati ini apabila pengorbanan untuk orang yang tersayang tidak dihargai.

Malah, aku buat kajian lokasi pejabatnya untuk buat kejutan, tapi aku pilih untuk hanya bertemu pada hujung minggu supaya tidak mengganggu kerjanya,” katanya.

Namun, rancangannya hancur apabila teman wanitanya memaklumkan dia sibuk sepanjang hujung minggu tersebut. Dalam nada kecewa, lelaki itu bertanya, “Nak jumpa sekejap pun tak boleh ke?”

Tidak Dihargai
Tambah lelaki itu, jika teman wanitanya benar-benar menyayanginya, pasti usaha untuk melapangkan masa akan dilakukan.

“Takkanlah dalam beberapa hari aku datang, tiada langsung masa untuk berjumpa? Dia bukan perdana menteri yang menguruskan negara. Sudahlah aku diperlakukan begini, dia langsung tak minta maaf atau jelaskan situasi. Aku menangis seorang diri di bilik hotel, sedih mengenangkan masa yang disia-siakan oleh orang yang tak tahu menghargai,” luahnya.

Nasihat Warga Maya
Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang rata-rata menyarankan lelaki itu agar mengundur diri demi menjaga harga dirinya.

Seorang pengguna berkongsi pengalaman serupa, “Aku pernah dalam situasi sama. Baru lepas kemalangan motosikal, aku tetap jumpa pasangan. Tapi dia langsung tak peduli. Dari situ aku sedar, martabat diri perlu diutamakan.”

Ada juga yang berkata, “Bila situasi macam ni berlaku, ia petanda jelas tentang kedudukan awak di hatinya. Jangan buang masa, teruskan hidup.”

Kisah ini menjadi pengajaran buat semua, bahawa hubungan yang sihat memerlukan usaha bersama dan rasa hormat terhadap pasangan.