Berjaya bayar balik wang rasuah punca SPRM tarik balik kes

Berjaya bayar balik wang rasuah punca SPRM tarik balik kes.Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini tampil memberikan penjelasan mengapa pertuduhan rasuah terhadap bekas anggota Lembaga Pengarah Felda ditarik balik baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan agensi antirasuah itu pagi ini, mereka berkata ketetapan tersebut diambil selepas mereka melakukan siasatan lanjut dan menemui fakta baru mengenainya.

Kata SPRM Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya mengikut Seksyen 62 Akta SPRM 2009.

“Berdasarkan dapatan baru menerusi keterangan baru yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan beliau membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.

“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” kata SPRM.

Berjaya

Ekoran itu kata kenyataan tersebut SPRM merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaru siasatan tersebut.

“Keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten.

“Pihak pendakwaan telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021,” katanya.

Dituduh di Johor, Shah Alam

Untuk rekod Ehsan Nurrashid yang juga bekas ahli parlimen Kota Tinggi sebelum ini berdepan dengan 29 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bernama pada 1 Sept lalu melaporkan Noor Ehsanuddin dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan.

Peguamnya Hasnal Rezua Merican memberitahu penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu dibuat ketika ketika prosiding perbicaraan berlangsung pada 21 Mei lalu.

Kata Hasnal SPRM menyiasat pernyataan pembelaan yang dibuat mengikut Seksyen 62 Akta SPRM dan berpuas hati kesemua transaksi yang dipertuduhkan adalah wang duluan (advances) yang telah dibayar balik sepenuhnya oleh tertuduh.

Perbicaraan itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan termasuk pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah memberi keterangan.

Sebelum itu Noor Ehsanuddin, 58, didakwa atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada syarikat percetakan Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan berkenaan membabitkan sebuah kereta BMW 3 Series.

Di mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam itu kemudian dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/590022

BACA: Enggan divaksin, guru KAFA bakal berdepan tindakan – Menteri Agama

CATEGORIES