Berita kematian M. Daud Kilau tersebar. Mesej tular dalam media sosial mengenai Datuk M. Daud Kilau yang kini dirawat di hospital akibat masalah paru-paru berair dikatakan telah meninggal dunia tidak benar.
Isteri M. Daud Kilau, Datin Rohani Awang Ngah berkata, suaminya sudah menunjukkan tanda pulih selepas sesak nafas sehingga terpaksa menggunakan bantuan alat pernafasan pada malam Rabu lalu.
“Ya saya sudah tengok mesej tular yang mengatakan Datuk sudah meninggal dunia malah saya terima banyak panggilan daripada rakan-rakan yang bertanyakan mengenai perkara itu.
“Mesej itu tidak benar, Datuk masih dirawat di hospital malah keadaannya bertambah baik. Doktor pun sudah tukar paras oksigen yang lebih rendah pada alat bantuan pernafasan, dia pun sudah boleh bercakap.
“Saya sudah biasa terima mesej sebegini, setiap kali Datuk masuk hospital, pasti ada mesej-mesej sebegini. Saya sudah biasa, tak apalah,” katanya.
Terdahulu, pagi ini, penyanyi veteran berusia 84 tahun itu yang dilaporkan kritikal selepas mengalami sesak nafas pada Rabu telah mula sedarkan diri dan mahu makan seperti biasa.
Anak penyanyi itu, Ahmad Zaini, 51, memaklumkan, bapanya mula menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif berbanding sebelumnya apabila sudah sedar dan boleh makan berbanding keadaannya semalam.
Begitupun katanya, bapanya masih lemah walaupun sudah boleh diajak bersembang.
Hari ini tular mesej penyanyi veteran itu dikatakan sudah meninggal dunia menerusi sekeping gambar beliau dalam warna hitam putih dengan ucapan ‘Innalillah’ dan makluman ‘sebentar tadi terima berita duka Datuk M. Daud Kilau’.
BACA:
Puteri Balqis bidas Azhar Sulaiman, ‘awak dah tulis nota bunuh diri untuk kami’
Tak dapat ganja punya pasal, lelaki merajuk dua hari atas bumbung
Neelofa buat trend ‘abang bomba selamatkan saya’ jadi bahan ketawa