Beri peluang PIBG uruskan sekolah waktu pandemik – Pensyarah

Beri peluang PIBG uruskan sekolah waktu pandemik – Pensyarah

Sudah sampai masanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan untuk mengurangkan pemusatan kawalan di sekolah-sekolah terutama ketika negara berdepan krisis Covid-19.

Sebaliknya, KPM perlu memberi ruang dan peluang kepada sekolah dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat untuk membuat keputusan terbaik dalam operasi sekolah.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, pandemik sekarang banyak menyaksikan kelemahan KPM mengendalikan isu-isu pendidikan dan ia masih berlarutan sehingga hari ini.

Akibat daripada itu, sistem persekolahan di negara ini bukan sahaja mencetuskan polemik tetapi menyebabkan kekeliruan dalam kalangan ibu bapa.

Contoh paling ketara, isu penutupan sesi persekolahan akibat Covid-19 yang mana menimbulkan banyak persoalan apabila seluruh sekolah ditutup sedangkan ada negeri dan daerah yang bebas daripada pandemik itu.

”Sejak tahun lalu, ramai ibu bapa dan pelbagai pihak tertanya-tanya mengapa sekolah di negeri-negeri atau daerah atau kawasan yang tidak terjejas dengan penularan Covid-19 perlu ditutup.

“Sedangkan bagi ibu bapa dan guru-guru terutama di luar bandar dan pedalaman yang tidak terjejas berpendapat, sekolah yang bebas daripada jangkitan virus boleh diteruskan memandangkan kita sudah ada prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

“Penutupan sekolah secara keseluruhan amat merugikan para pelajar terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman dan perkara ini amat dikesali,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Anuar berkata, perkara seumpama itu tidak berlaku jika KPM memberi kepercayaan kepada pihak sekolah, PIBG dan komuniti untuk membuat keputusan.

Lagipun, mereka lebih tahu tentang keadaan persekitaran sekolah dan pelajar masing-masing.

Menurut beliau, untuk membuat keputusan berhubung operasi sekolah bukanlah memerlukan kemahiran sains roket atau kemahiran tinggi tetapi berdasarkan keperluan semasa sahaja.

Jelas beliau, pemusatan kawalan pemusatan oleh KPM dalam situasi semasa hanya mengundang perspektif orang ramai bahawa kementerian ini masih menggunakan kaedah lama, sedangkan zaman sudah berubah.

KPM juga seolah-olah tidak percaya kepada pihak sekolah.

Anuar berkata, Norway yang sebelum ini mengamalkan pemusatan kawalan di sekolah-sekolah pun telah meninggalkan amalan tersebut dan memberi kepercayaan penuh kepada masyarakat setempat, pihak sekolah dan ibu bapa.

Namun kaedah itu tidak bermakna Kementerian Pendidikan Norway ‘lepas tangan’ cuma memberi kebebasan sekolah untuk merangka strategi, menggunakan sumber luar dan melakukan inovasi serta amalan terbaik.

Hasil daripada kaedah ini, sekolah-sekolah di negara itu kembali mendapat perhatian komuniti dan kerjasama baik daripada ibu bapa.

“KPM masih boleh menegur sebab itulah fungsi, peranan dan tanggungjawabnya, tetapi bukan lagi memusatkan kawalannya,” ujar beliau.

Anuar berkata, cara ini tidak lagi sesuai memandangkan setiap sekolah mempunyai isu berbeza, selain itu, kaedah sekarang ini banyak menimbulkan masalah dan kecelaruan seperti yang berlaku sekarang ini.

“Pada saya, pemusatan kawalan ini sekadar mewarisi penjajahan kuasa oleh British sedangkan kita sudah mencapai kemerdekaan lebih 60 tahun.

“Soalnya mengapa kita tidak mengikut cara dan kaedah sendiri?,” soalnya sambil berkata amalan KPM sekarang menyebabkan sekolah dijauhi komuniti.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/02/22/kpm-perlu-kurangkan-kuasa-biar-pibg-uruskan-sekolah-pensyarah/