Satu lagi berita mengejutkan dalam arena badminton tempatan apabila beregu lelaki
Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Mohd Rumsani memutuskan untuk meninggalkan pasukan kebangsaan.
Keputusan untuk keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ini bermakna kedua-duanya
akan meneruskan karier sebagai pemain profesional di luar pasukan kebangsaan.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, ketika ditanya mengenai perkara ini, tidak menafikan perkembangan terbaru tersebut.
Namun, beliau berkata akan memberikan penjelasan lanjut pada sidang media khas mengenai skuad negara di Olimpik yang dijadualkan esok.
“Saya belum boleh memberi komen pada masa ini kerana saya perlu menunggu maklumat lanjut daripada pengurusan serta perbincangan yang akan datang,” kata Rexy hari ini.
Difahamkan, beregu ini akan mengikuti jejak langkah pemain perseorangan Lee Zii Jia dengan menyertai jenama luar.
Sze Fei dan Nur Izzuddin pernah berpisah pada Januari 2023 sebelum kembali bergandingan enam bulan kemudian.