Bengang setiap hari ditanya kerja sekolah anak, Cikgu ‘sekolahkan’ ibu bapa

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Hari ini, WhatsApp Group telah menjadi alat komunikasi utama bagi guru-guru untuk berhubung dengan ibu bapa pelajar mengenai aktiviti dan perkara penting berkaitan sekolah.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa ibu bapa yang bertanyakan perkara-perkara remeh di dalam WhatsApp Group tersebut, menyebabkan cikgu merasa terganggu.

Baru-baru ini, satu tangkapan skrin telah tersebar menunjukkan seorang cikgu menegur beberapa ibu bapa yang setiap hari bertanya tentang kerja sekolah anak-anak mereka.

Bengang setiap hari ditanya kerja sekolah anak, Cikgu 'sekolahkan' ibu bapa

“Cikgu Zulaikha, salah seorang cikgu dalam kumpulan tersebut, menyuarakan rasa kesalnya,”Salam, maaf tanyalah. Apa masalah ibu di sini yang sangat melayan anak tidak siap kerja? Seharusnya kita ajar anak-anak erti tanggungjawab, bukan kita yang memanjakan mereka.

“Hari-hari tanya ada homework ke tak, siapa yang datang sekolah sebenarnya? Anak-anak itu ada tak dalam kelas waktu cikgu mengajar?

“Adakah tanggungjawab cikgu untuk maklumkan setiap kerja sekolah yang diberi? Bukan tanggungjawab anak-anak untuk fokus dan peka dalam kelas?

“Darjah 1 saya boleh faham lagi, ini sudah darjah 4.

“WhatsApp Group ini untuk makluman penting berkaitan sekolah. Bukan untuk ibu-ibu mengadu anak tidak siap kerja dan sebagainya.

“Saya harap semua ibu bapa dapat kerjasama, terima kasih,” luah Cikgu Zulaikha.

Cikgu Zulaikha juga berkongsi tangkapan skrin sebahagian ibu bapa yang memberikan alasan mengapa anak-anak mereka tidak dapat menyiapkan kerja sekolah.

“Bagaimana nak lahirkan anak-anak yang fokus, peka, bertanggungjawab jika kita jadi ‘bapa Sazali’? Maaf, saya tidak memukul rata kerana saya percaya masih banyak ibu bapa yang ada common sense dan tidak memanjakan anak sampai merosakkan.

“Tetapi, ibu bapa yang terlampau memanjakan anak begini memang perlu dihapuskan dari awal,” kata beliau.

Hantaran Facebook itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ramai guru-guru lain yang bersetuju dengan luahan Cikgu Zulaikha.

Seharusnya, pelajar sendirilah yang harus bertanggungjawab terhadap tugasan yang diberikan oleh guru. Bukan ibu bapa yang harus bertanya kepada guru setiap hari.

Menurut guru-guru lain, jika ‘dilayan’ nanti, beberapa ibu bapa akan ‘naik lemak’ dan mula bertanya soalan-soalan yang tidak sepatutnya di dalam WhatsApp Group itu.

Sementara itu, dalam satu hantaran Facebook yang lain, Cikgu Zulaikha menjelaskan bahawa WhatsApp Group tersebut bukan miliknya. Jadi beliau tidak boleh mengawal perbualan ibu bapa di dalamnya.

Beliau juga tidak kisah jika ibu bapa ingin bertanya, tetapi pastikan soalan yang diberi itu relevan. Bukan soalan yang boleh dijawab dengan menggunakan akal biasa.

Akhir sekali, Cikgu Zulaikha berharap agar ibu bapa memberikan ‘ruang’ kepada anak-anak mereka untuk belajar menjadi individu yang bertanggungjawab – jika mereka tidak menyiapkan kerja sekolah,

maka mereka harus bertanggungjawab dengan ‘denda’ atas kecuaian dan kelalaian mereka sendiri – sebagai satu pengajaran kepada pelajar-pelajar tersebut.

“Pandangan saya ini mungkin disebabkan oleh latar belakang murid saya, tetapi mungkin berbeza dengan latar belakang murid di sekolah-sekolah bandar atau mungkin yang jauh di pedalaman.

“Pandangan kita mungkin berbeza berdasarkan subjek yang diajar. Walau bagaimanapun, tujuan kita semua tetap sama. Kita mahukan yang terbaik untuk semua anak murid kita,” jelas Cikgu Zulaikha mengenai hantaran yang dikongsikannya itu.

BACA: “Patutlah mak kata biarlah dia saja menderita di balai keseorangan hadap polis dan mahkamah, rupanya ayah jadi punca”