Belum ada keputusan berhubung RCI TH – Timb Menteri

Belum ada keputusan berhubung RCI TH – Timb Menteri

KERAJAAN belum memutuskan bentuk siasatan sama ada mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau hanya siasatan dalaman bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdahulu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas dibawa ke Kabinet.

Bagaimanapun katanya, semua maklumat yang disampaikan sama ada melalui perbahasan Ahli Parlimen atau memorandum yang dihantar akan diteliti secara terperinci sebelum keputusan sewajarnya dibuat.

“Siasatan dalaman secara rasmi belum kita umum, namun saya dan menteri sudah beberapa kali memanggil pihak TH untuk mencari formula dan penyelesaian sesuai kepada masalah berbangkit selain kenal pasti fakta yang dibangkitkan sama ada benar atau tidak.

“Kita ambil cakna kesemua dakwaan dan fakta bagi memudahkan tindakan seterusnya diambil. Soal RCI walaupun banyak cadangan daripada Ahli Parlimen, namun setakat ini belum diputuskan.

“RCI adalah keputusan besar dan perlu dibawa ke kabinet sebelum diputuskan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Dewan Pemuda Pas Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk memberi jaminan aset Tabung Haji dan masa depan pendeposit 9.3 juta akan dijaga sebaik mungkin walaupun tanpa pengumuman RCI.

“Kerajaan juga akan tentukan hala tuju yang jelas kepada pengurusan dan pentadbiran TH yang membabitkan soal penstrukturan aset dan barangkali anak syarikat yang tidak cemerlang akan dibuat penstrukturan dari segi hutang mereka semula, bagi menjadikan syarikat itu berdaya saing.

“Kita ada kerangka jelas bagi memastikan aset dan pendeposit selamat,” katanya

Akhbar sebelum ini melaporkan, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.

COMMENTS