BELANJAWAN 2020 PETANDA AWAL KEWANGAN NEGARA KEMBALI STABIL

Pakatan Harapan mewarisi kedudukan kewangan yang sangat parah ketika mula mengambil-alih pentadbiran kerajaan pada bulan Mei 2018. Tabung kewangan kerajaan hanya punya wang tunai beberapa ratus juta sahaja waktu itu, sehingga memaksa pentadbiran baru kerajaan mengambil langkah-langkah pengawalan perbelanjaan yang drastik.

Langkah-langkah ini telah mengakibat PH menjadi sangat kurang popular sementara serangan pembangkang pula bertubi-tubi menghentam kerajaan. Pun begitu, sebagai pentadbir sebuah kerajaan, pimpinan Pakatan Harapan sedar bahawa tanggungjawab terhadap kelangsungan pentadbiran negara jauh lebih penting berbanding populariti politik.

Kesabaran dan kebertanggunjawaban pimpinan kerajaan PH sedikit demi sedikit mula membuahkan hasil. Belanjawan Persekutuan 2020 mendapat pujian dari Bank Dunia serta pelbagai pihak dan pemerhati di dalam dan luar negara. Secara umumnya, Belanjawan 2020 adalah petanda awal kebangkitan semula ekonomi dan kedudukan kewangan Malaysia.

Apa yang menarik ialah Belanjawan 2020 telah berjaya menjawab tohmahan pembangkang yang berhempas pulas mahu membawa naratif bahawa ‘Islam dan Melayu terancam’. Pembangkang seolah-olah yakin naratif politik ini pasti akan membawa mereka semula ke gerbang kuasa. Belanjawan 2020 adalah belanjawan yang mesra Islam dan mesra Melayu. Hasilnya, naratif politik pembangkang tercalar teruk dengan pembentangan Belanjawan Negara oleh Menteri Kewangan.

Semoga Belanjawan 2020 berjaya mensejahterakan negara demi semua rakyat.

Jamzuri Ardani
Pengarah Komunikasi Amanah Melaka