Bekalan ayam makin kurang, peniaga bakal tutup kedai. Peniaga-peniaga ayam segar di pasar-pasar utama di daerah ini menjangkakan mereka tidak akan beroperasi pada hari Ahad ini (esok) ekoran kekurangan bekalan ayam yang diperoleh mereka.
Ketika ditemui Utusan Malaysia hari ini, masing-masing juga mengakui mendengar ura-ura terdapat ladang-ladang ayam utama yang akan menghentikan operasi pada esok (hari ini) dan Ahad.
Seorang peniaga ayam segar di Pasar Ampangan di sini, Alizan Tambi, 51, berkata, bekalan ayam yang diterimanya dari pembekal semakin hari semakin berkurangan dan ia berlaku sejak awal sambutan Aidilfitri.
“Sehingga ke hari ini, bekalan yang saya terima berkurangan dan hari ini makin teruk.
Ada peniaga-peniaga kecil yang kebiasaannya mendapatkan bekalan ayam dari saya juga terpaksa pulang hampa, ada yang selalu dapat 40 ekor, saya hanya mampu berikan dalam 20 ekor sahaja.
“Sama juga dengan pembeli, ramai yang tidak dapat membeli ayam kerana sejak awal pagi ayam sudah habis.
Sekarang, pengguna ada wang untuk membuat pembelian, namun, bekalan ayam itu tiada, jika kami sebagai peniaga pun terkesan dengan situasi sekarang, apatah lagi golongan pengguna.
“Saya akan melihat terlebih dahulu keadaan pada esok hari (hari ini), jika bekalan tiada, memang saya tidak boleh berniaga pada hari Ahad, memang tiada apa yang boleh kami jual jika bekalan tiada,” katanya.
Di Pasar Besar Seremban pula, tinjauan akhbar ini mendapati ayam segar sudah habis dijual pada pukul 8 pagi dan peniaga mengakui ia berikutan kukurangan bekalan ayam yang diperoleh mereka Seorang peniaga Azizan Masri, 54, berkata, kebiasaannya dia menerima sekitar 1,700 ekor ayam sehari dari pembekal, namun, kini, hanya mendapat sekitar 1,000 ekor sahaja.
“Inipun kebanyakannya saya sediakan untuk peniaga-peniaga kecil yang biasa mendapat bekalan ayam dari saya. Saya kasihan juga apabila orang ramai mahu membeli ayam tetapi sejak awal sudah habis, apa boleh kami buat.
“Saya ada mendengar penternak-penternak ayam utama akan menghentikan operasi mereka pada hujung minggu ini, alasan mereka kerana kos operasi yang tinggi berikutan harga dedak yang semakin meningkat.
“Sejak saya mula berniaga ayam pada tahun 1997, ini kali pertama berlaku kekurangan bekalan yang teruk seperti apa yang terjadi hari ini. Saya boleh sifatkan ia sebagai satu krisis bekalan,” katanya lagi.
Sementara itu, tinjauan di beberapa buah pasar raya di daerah ini seperti di Sikamat turut mendapati tiada stok ayam segar yang dijual dan difahamkan bekalan tersebut telah berlaku sejak beberapa hari yang lalu.- UTUSAN
BACA:
Ayam hilang selera makan kerana cuaca panas, dakwa persatuan
Tular video anak pendakwah terkenal berpeluk, bercium dengan kekasih
Ura-ura harga gula pula bakal naik, kos pengeluaran didakwa naik 30%