Bekalan air Selangor mula pulih kembali

Bekalan air Selangor mula pulih kembali

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bersama-sama Yang Berhormat Puan Rodziah Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Tiga telah meluangkan masa untuk mengagihkan air botol minuman 5 liter ini kepada para penduduk di Pangsapuri Rimba Jaya petang tadi. Pada majlis berkenaan juga Air Selangor memaklumkan status pemulihan bekalan air di 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual setakat jam 6.00 petang, 20 Oktober 2020.

Seperti yang anda semua sedia maklum, keempat-empat loji Air Selangor, LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 6.00 petang semalam, 19 Oktober 2020. Bekalan air telah mula disalurkan kepada pengguna pada jam 8:00 pagi tadi, 20 Oktober 2020. Air bersih ini telah melalui ujian kualiti dan pematuhan berdasarkan standard Kementerian Kesihatan Malaysia dan disahkan pematuhan tersebut oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Sehingga jam 6.00 petang hari ini, sejumlah 841 (65%) kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya dari 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini. Justeru itu, sebanyak 451 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan.

Dalam pada itu, Air Selangor telah memaksimakan usaha untuk memulihkan bekalan air kepada pengguna-pengguna terjejas. Justeru, berdasarkan kemajuan pemulihan bekalan air dalam sistem agihan terkini, pihak kami mensasarkan masa pemulihan sepenuhnya yang baharu untuk kesemua 1,292 kawasan adalah dijangka pada 8:00 pagi, 22 Oktober 2020.

Setakat tahun ini sahaja, LRA SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah dihentitugas sebanyak 6 kali berikutan isu pencemaran sungai. Kami di Air Selangor amat memahami keperitan yang dihadapi oleh semua pengguna kami yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini, kerana kami juga merupakan pengguna air seperti anda.

Air Selangor terus berusaha untuk memberi bantuan bekalan air menggunakan 129 lori-lori tangki ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan.

Walau bagaimanapun, aset Air Selangor adalah terhad dan sukar untuk memenuhi keperluan kesemua 1.2 juta akaun pengguna. Kami amat berharap agar pengguna dapat mengambil air di pili-pili awam yang telah disediakan. Banyak rungutan yang kami terima mengenai lokasi pili awam yang agak jauh, tetapi hanya lokasi tersebut yang mempunyai bekalan air ketika gangguan berlaku.

Selain itu juga, Air Selangor berharap para pengguna yang telah mula mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

Seperti anda semua, kami juga amat kecewa dengan pencemaran yang kerap berlaku ini yang menyebabkan loji-loji kami terpaksa ditutup dan secara langsung memberi impak kepada para pengguna. Justeru, kami menyokong penuh usaha pihak berkuasa untuk membanteras jenayah alam sekitar agar sungai-sungai kita tidak terus tercemar.

Para pengguna disarankan untuk mendapatkan berita yang sahih mengenai bekalan air melalui saluran komunikasi rasmi kami di aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Berita penuh : https://www.airselangor.com/press-release/status-pemulihan-bekalan-air-di-wilayah-petaling-klangshah-alam-gombak-kuala-lumpur-hulu-selangor-kuala-langat-dan-kuala-selangor-20-okt-2020-630pm

COMMENTS