Batalkan segera penubuhan JASA, peruntukan boleh bina 2 klinik kesihatan

Batalkan segera penubuhan JASA, peruntukan boleh bina 2 klinik kesihatan

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia serta Menteri Kewangan membatalkan cadangan mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Beliau berkata, dana berjumlah RM85.5 juta terhadap kewujudan semula unit propaganda politik parti pemerintah itu bukanlah jumlah yang kecil dengan RM4 juta di bawah butiran 021000 Jasa dalam Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, dan RM81.5 juta di bawah butiran 050100 Perluasan Jasa dalam Dasar Baru.

Menurutnya, jumlah yang besar itu sebagai perbandingan boleh diguna untuk membina dua Klinik Kesihatan (Jenis 2) yang dilengkapi peralatan perubatan terkini dan mampu memberi khidmat kepada 500 hingga 800 pengunjung setiap hari.

Jelasnya, dana yang terkandung dalam Belanjawan 2021 itu juga boleh diguna untuk membina tiga bangunan sekolah dengan 24 bilik darjah setiap satu berbanding diguna untuk menyerang pihak pembangkang dengan menggunakan wang rakyat.

“Atau ia boleh dimasukkan ke dalam Tabung Cerdik, di mana jumlah ini mampu membeli 85,000 komputer riba tambahan untuk begitu ramai pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Fahmi yang juga jurucakap PKR bagi Komunikasi, Seni dan Budaya menegaskan fungsi Jasa sebenarnya bertindih dengan pelbagai agensi sedia ada, termasuk Jabatan Penerangan, RTM, Bernama, Bernama TV, Komunikasi Strategik (StratCom) dan Unit Komunikasi Korporat Kementerian-Kementerian.

“Kenapa tidak dibelanjakan sahaja RM85.5 juta ini untuk membeli peralatan baru, menambah perjawatan dan memperkukuh badan-badan dan agensi-agensi sedia ada ini?

“Atau adakah Perikatan Nasional (PN) sebenarnya berkata bahawa agensi-agensi yang lain ini – yang diberi lebih daripada RM731 juta dalam Belanjawan 2021 – tidak mampu atau gagal melaksanakan tugas menyampaikan maklumat hingga ke akar umbi?” tempelaknya.

Sehubungan itu, Fahmi menggesa agar Belanjawan 2021 dipinda dengan mengagihkan dana berjumlah RM85.5 juta kepada Jasa itu sama ada kepada program-program dan agensi-agensi penerangan dan komunikasi sedia ada, atau dibelanjakan untuk program-program yang lebih bermanfaat kepada rakyat.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/jumlah-peruntukan-jasa-boleh-bina-dua-klinik-kesihatan/

COMMENTS