Setiap kali tibanya sesi penyerahan kad laporan prestasi anak-anak di sekolah, ibu bapa pasti akan merasai debarannya.
Kebanyakan ibu bapa pastinya mengharapkan anak masing-masing memperoleh keputusan terbaik dan cemerlang yang boleh dibanggakan.
Namun, berbeza dengan luahan seorang bapa mengenai prestasi pelajaran anaknya di sekolah yang tidak meletakkan harapan setinggi itu.
“Hari ini hari kad laporan sekolah anak saya. Dia masih menengah rendah. Saya tidak mengharapkan keputusan cemerlang melangit.
“Saya ingin dia menikmati proses pembelajaran di sekolah dan sentiasa memperbaiki keputusan dan sahsiah. Sementelah kecenderungannya juga adalah teknologi pertanian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut mStar, mendedahkan keputusan anaknya dalam mata pelajaran Matematik adalah sangat lemah, dia bagaimanapun lebih terkejut menyaksikan pencapaian anaknya dari segi kedudukan dalam kalangan pelajar setingkatan.
“Subjek matematik sangat-sangat lemah. Yang mengejutkan saya adalah dengan keputusan sebegitu dia mendapat nombor tujuh di dalam kelas dan nombor 11 di dalam tingkatan yang ada hampir 200 murid.
“Kegilaan apakah ini? Apakah keputusan matematik pelajar-pelajar lain? Jika keputusan anak saya sebagai tanda aras memang yang lain tidak dapat digambarkan,” ujarnya.
Dia mendakwa keadaan berlaku berpunca daripada tiada keperluan untuk melakukan kajian saintifik terhadap silibus dan sukatan pelajaran, ia tak memberi asas matematik kepada murid.
“Silibus ‘bodoh’ kononnya aras tinggi yang digubal oleh orang berkelulusan tinggi yang syok sendiri. Silibus Matematik sekolah menengah lagi susah dari Matematik zaman saya Matrik di USM (Universiti Sains Malaysia) tahun 1997. Kegilaan apakah ini?
“Penggubal silibus ini membunuh minat pelajar untuk memahami Matematik. Asas tidak dipasak sewaktu sekolah rendah sebab mengejar aras tinggi KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) yang tidak tahu hala tuju dan outcome.
“Di sekolah menengah pelajar hilang tujuan belajar Matematik. Saya rasa amat marah, sangat marah. Bayangkan sampai saya sendiri rasa ingin hempuk buku Matematik ke atas orang yang gubal silibus kalau ada di depan saya.
“Yang gubal silibus Matematik ini memang tinggi pendidikan, kelulusan berjela tetapi terawang-awang syok sendiri tidak berpijak di alam realiti,” dakwanya lagi.
Di ruangan komen, bapa terbabit meminta supaya mengusulkan isu silibus yang didakwa tidak lagi relevan itu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk dilakukan perubahan.
“Kepada cikgu-cikgu, bawalah isu silibus yang tidak bersesuaian ini kepada KPM, teruk sangat dah ini,” katanya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata wargamaya menyuarakan pandangan termasuk kebimbangan mereka sebagai ibu bapa terhadap prestasi pelajaran anak-anak mereka.
“Ya Allah ingatkan sekolah anak saya je. Keputusan Matematik dia 52 je tapi paling tinggi dalam kelas. Habis yang lain markah berapa? Tak tahu nak marah ke nak gembira.
“Bukan anak-anak yang letih. ibu bapa pun letih sama apabila anak minta tolong tunjuk nak selesaikan kerja sekolah. Apa gila mereka ni buat silibus macam nak jadikan semua rakyat Malaysia ni angkasawan kot,” demikian antara komen warga maya.
Sementara itu, bekas guru Matematik yang juga pempengaruh media sosial, Mohd Fadli Salleh turut mengulas luahan bapa berkenaan bahawa hakikatnya, guru tidak boleh mengkritik silibus kerana ia adalah dasar KPM.
Lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli, katanya, mengkritik dasar boleh dikenakan tindakan tatatertib, disekat kenaikan pangkat dan ditahan gaji serta dibuang daripada perkhidmatan.
“Kesalahan besar mengkritik dasar. Kena angguk sahaja kepala jika sayangkan periuk nasi. Para guru Matematik pernah kritik apabila KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) diperkenalkan 13 tahun lepas.
“Masa tu saya dah pun mula menulis tentang silibus syok sendiri ini, dan masa itu juga ada guru-guru lain menulis dan viral. Apa hasilnya?
“Ada pegawai turun berkampung di sekolah guru tersebut. Gigil cikgu tu telefon beritahu saya. Serta-merta delete post itu dan tak berani lagi mengkritik secara terbuka, melainkan pendam saja dalam dada,” tulisnya di Facebook.
Contoh soalan Matematik untuk murid sekolah rendah.
Menurut Cikgu Fadli, kurikulum baharu hanya akan dilaksanakan pada 2027, kira-kira tiga tahun dari sekarang.
“Itu pun hanya bermula untuk murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu 2027. Makna kata, kalau anak kita di Tahun Dua atau Tahun Tiga pada 2027, mereka tetap akan ikuti kurikulum KSSR Semakan 2017 ini sampai akhir darjah enam.
“Berjuta murid menjadi mangsa kerana keegoan pihak kayangan tidak mahu menerima teguran,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, pendidikan karakter, literasi asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan pendekatan baharu akan diperkenalkan KPM dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Beliau berkata, kurikulum baharu dibentuk untuk melahirkan murid yang berpengetahuan dan kompeten serta mencapai keseimbangan optimum dalam memberikan pendidikan berkualiti.
Ia akan dilaksanakan secara berperingkat dimulakan dengan prasekolah pada 2026, manakala tahun satu dan tingkatan satu pada 2027.
BACA: Sukan Skuasy tak dipertandingkan dalam Olimpik, tapi kenapa Datuk Nicol Ann David ada di Paris