Mungkin setiap kali anda mandi, anda akan perasan jika ada perubahan pada badan, termasuk warna puting payudara yang mungkin kelihatan berbeza.
Dahulu warnanya mungkin merah jambu, tetapi kini semakin gelap.
Mengapa perkara ini berlaku, dan adakah ia normal?
Ramai wanita tidak sedar bahawa selain perubahan warna, puting payudara setiap individu juga ada pelbagai jenis!
Jika anda ingin tahu di kategori mana anda berada, mari kita lihat penjelasan berikut.
Tahukah anda bahawa warna puting payudara berubah mengikut perubahan hormon badan? Ini termasuklah ketika anda hamil atau menyusukan anak. Bukan sahaja warna yang berubah, saiz dan tekstur puting juga boleh berubah.
Menurut Dr. Bindiya Kukreja, seorang pakar ginekologi dari Delhi melalui HealthShots, walaupun hormon adalah punca utama, faktor lain seperti pembedahan payudara, penurunan berat badan, serta proses penuaan juga boleh menyebabkan perubahan pada saiz dan warna puting. Namun, ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.
Bahagian ‘areola’ biasanya berwarna lebih gelap berbanding kawasan puting. Bergantung pada warna kulit seseorang, puting payudara boleh berwarna dari merah jambu hingga coklat gelap. Jangan risau, warna asal puting akan kembali selepas tempoh hamil atau penyusuan.
Namun begitu, anda perlu SEGERA berjumpa pakar jika warna puting berubah menjadi merah atau ungu, disertai kekeringan kulit dan rasa gatal.
Berikut adalah beberapa jenis puting yang mungkin anda ada:
Menonjol
Puting ini timbul beberapa milimeter di atas permukaan areola dan menghala ke luar. Apabila sejuk atau dirangsang, ia boleh mengeras dan menjadi lebih jelas.
Rata
Puting ini tidak timbul dan kekal separas dengan areola tanpa benjolan. Sama seperti puting menonjol, ia juga boleh mengeras apabila dirangsang atau sejuk.
Puffy
Puting ini kelihatan seperti timbunan kecil di atas payudara, seolah-olah kembung. Puting boleh mengeras apabila dirangsang atau sejuk.
Terbalik
Puting ini nampak seperti ditarik ke dalam payudara. Kadang-kadang anda boleh mengeluarkannya dengan jari, namun dalam sesetengah kes, otot terlalu tegang.
Terbalik sebelah sahaja
Satu puting menghala keluar, sementara satu lagi tertarik ke dalam. Jika ini adalah keadaan baru (dulu kedua-dua puting sama dan kini satu terbalik), ini mungkin tanda kanser payudara, jangkitan, atau kecederaan. Temujanji dengan doktor diperlukan.
Ada benjolan
Kadang-kadang terdapat benjolan kecil di areola yang dipanggil kelenjar Montgomery, dan ia mungkin kelihatan seperti bintik putih.
Berbulu
Ya, ini boleh berlaku! Bulu hitam kecil yang tumbuh di sekitar areola adalah perkara biasa. Anda boleh mencabutnya dengan pengepit, tetapi berhati-hatilah kerana kawasan kulit ini sangat sensitif.
BACA: Tak perlu pening pinjam bank, masuk rumah dulu bayar kemudian dengan SPaylater