Bantuan kerajaan tak dapat selamatkan Cik Kiah dan Orang Miskin Baru

Bantuan kerajaan tak dapat selamatkan Cik Kiah dan Orang Miskin Baru

Dulu-dulu, kita selalu dengar istilah OKB atau orang kaya baru. Mereka merupakan orang yang tiba-tiba menjadi kaya gara-gara durian runtuh dan sebagainya.

Sepanjang krisis Covid-19 pula, saya nampak muncul satu golongan yabgf sebelum ini tidak kita temui, iaitu OMB ataupun orang miskin baru. Mereka merupakan orang biasa yang tiba-tiba menjadi miskin kerana kehilangan sebahagian atau kesemua pendapatan mereka.

Pendek kata, orang yang jatuh miskin kerana terputus gaji.

Golongan ini termasuklah peniaga kecil, pelayan, pemandu lori, tukang baiki paip, jurupendawaian elektrik, pemilik warung dan restoran, guru tuisyen, jurulatih sukan, usahawan mikro dan ramai lagi mereka yang makan upah harian ataupun mingguan.

Sebelum ini, mereka tidak memerlukan – dan tidak layak mendapat – bantuan kebajikan kerajaan. Mereka juga berada di luar senarai bantuan banyak NGO yang aktif sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini semua kerana mereka sememangnya bukan orang miskin, walaupun mereka bukan pula orang yang kaya-raya.

Namun kini segala-galanya berubah. Pendapatan jatuh mendadak, hutang bertimbun dan mereka diselubungi ketidaktentuan ekonomi secara berterusan.

Ya, betul, ada antara mereka yang telah memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tetapi masih belum mendapat sebarang maklum balas. Tetapi, bukan mudah untuk orang yang tidak biasa meminta bantuan kebajikan untuk menghulurkan tangan meminta-minta buat kali pertama.

Hanya segelintir dapat bantuan

Justeru, tidak hairan jika ada antara OMB itu yang memilih untuk menanggung susah dalam diam.

Hakikatnya, bantuan kerajaan secara one-off ala kebajikan ini sebenarnya tidak memadai buat Cik Kiah dan jirannya Din Tali Pinggang.

Din Tali Pinggang sedang murung memikirkan stok seluar jeans dan tali pinggang kulit bernilai RM60,000 yang terbengkalai di rumah disebabkan gerainya di pasar malam ditutup lebih sebulan, dan mungkin akan ditutup sehingga selepas raya.

Setiap tahun, perniagaan Din Tali Pinggang di pasar malam akan mencatat keuntungan paling banyak semasa Ramadan kerana ketika itulah ramai pelanggan membeli untuk menyambut hari raya.

Masalah bertambah buruk apabila sebahagian besar modal Din Tali Pinggang diperolehi daripada pinjaman kawan-kawan dan “peminjam wang” kawasan itu. Sudah jatuh Din Tali Pinggang ditimpa tangga pula.

Setakat ini, skim pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan kredit mikro kerajaan tidak mencukupi. Minggu lalu, seorang wakil PKS berkata, daripada hampir sejuta PKS, hanya 5,000 yang berjaya mendapat pinjaman kerajaan setakat ini.

Dalam kata lain, hanya kurang daripada 1 peratus PKS berjaya dibantu melalui skim pinjaman kerajaan.

Seorang peniaga kecil memberitahu saya, ada kawan-kawannya yang meminjam daripada ah long kerana proses itu lebih mudah berbanding memohon skim ditawarkan kerajaan.

Di semua peringkat kerajaan, proses birokrasi selalunya mengekang bantuan daripada sampai kepada kumpulan sasar dengan segera.

Sebagai muhasabah diri – kerana saya terlibat dalam kempen Pulau Pinang Lawan Covid-19 – satu contoh proses birokrasi ialah apabila penjaja tidak berlesen tidak layak menerima bantuan tunai RM500 yang diagihkan oleh kerajaan negeri kepada lebih 14,000 orang penjaja berlesen.

Justeru, kerajaan persekutuan dan kerajaan setiap negeri perlu mengkaji semula program pengagihan bantuan terutamanya apabila PKP dilanjutkan.

(Dalam semua ini, kita belum lagi menyentuh tentang sesetengah pihak yang bermain politik waima semasa mengagihkan bantuan.)

Ekonomi masih terawang-awang

Kesimpulannya, bagi golongan OMB, bantuan Cik Kiah yang diumumkan terdahulu tidak mencukupi, terlalu lambat sampai dan terlalu susah untuk dipohon. Itu pun jika mereka berkelayakan.

Hakikatnya, kebanyakan OMB tidak memerlukan bantuan ala kebajikan. Apa yang mereka perlukan ialah mengetahui bila dan bagaimana mereka boleh menyambung semula aktiviti menjana pendapatan sendiri.

Mereka sebenarnya mampu untuk bangkit semula dengan pantas jika – dan hanya jika – kerajaan melaksanakan pelan keluar (exit plan) yang jelas pada kadar segera.

Malangnya, setakat ini, pengumuman dasar yang kelam-kabut berkaitan sektor apa, bila dan bagaimana sektor-sektor itu dibuka semula bukannya pelan keluar yang jelas.

OMB merupakan tenaga produktiviti tetapi lagi lama mereka dibiarkan dalam keadaan ekonomi terawang-awang, semakin berkurangan daya produktiviti masing-masing.

Beberapa laporan meramalkan bahawa kerugian yang dialami dalam tempoh sebulan ini boleh mencapai 25 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pada hujung minggu lalu, kita mendapat tahu banyak syarikat termasuk konglomerat besar mengumumkan pelaksanaan penstrukturan semula, pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja.

Lagi lama kerajaan persekutuan lalai menghasil strategi ekonomi yang jelas, lebih banyak OMB yang perlu diselamatkan. Juga semakin tinggi risiko OMB terbabit terperangkap dalam kemiskinan berkekalan.

Apakah bentuk strategi keluar yang munasabah dalam krisis ini?

Saya pernah menulis tentang dua kriteria untuk melonggar mahupun menamatkan PKP, dan perkara yang sama turut diperkatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, yakni statistik Covid-19 yang rendah dan kesiapsiagaan sistem yang tinggi.

Satu aspek kesiapsiagaan sistem adalah seperti dalam permintaan kerajaan Pulau Pinang kepada kerajaan persekutuan tiga minggu lalu, iaitu: meningkatkan ujian saringan Covid-19, melaksanakan PKP di sempadan negeri, dan memperkenal serta melaksanakan protokol persekitaran, kesihatan dan keselamatan (EHS) yang spesifik kepada Covid-19 untuk semua sektor.

Pulau Pinang mengumumkan Strategi Next Normal Pulau Pinang yang melibatkan pembaharuan institusi, ekonomi dan sosial negeri bagi berdepan situasi baru akibat Covid-19.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/528080

COMMENTS