Bank Negara umum opr kekal 3% tapi kumpulan ini bengang tiada modal main sentimen politik

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Keputusan ini diambil selepas Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengadakan mesyuarat pada hari ini.

Hasil keputusan daripada sesi mesyuarat yang dijalankan pada hari ini telah disiarkan dalam satu kenyataan rasmi pada jam 3.00 petang.

Bank Negara umum opr kekal 3% tapi kumpulan ini bengang tiada modal main sentimen politik

Menurut BNM, ekonomi global dijangka terus berkembang, meskipun dalam paras yang sederhana. Perkara ini disokong melalui pelbagai faktor seperti aktiviti perdagangan dan keadaan pasaran pekerja yang semakin baik.

Pihaknya turut menjangkakan bahawa ekonomi serantau akan mengalami penambahbaikan dari segi pertumbuhan ekonomi.

Pada masa yang sama, salah satu kuasa ekonomi dunia, China, dijangka kekal pada paras sederhana ekoran pasaran hartanah yang lemah secara berterusan.

Bagi perdagangan global pula diramal akan menjadi kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik.

Dalam kenyataan tersebut, BNM menyatakan paras inflasi keseluruhan dan inflasi teras global didapati menurun sedikit sejak kebelakangan ini.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini,” jelas BNM.

Sungguhpun begitu, pendirian dasar monetari global diramal akan terus kekal ketat pada tempoh terdekat. Khususnya, apabila paras inflasi terus berada pada paras melebihi purata.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global,” katanya.

Keadaan ekonomi Malaysia meningkat pada tahun lepas, OPR kekal pada paras 3.00 peratus

Dalam pada itu, BNM memaklumkan keadaan ekonomi di Malaysia telah berkembang sebanyak 3.7 peratus pada tahun lepas.

Sehubungan itu, kadar pertumbuhan ekonomi di negara ini dijangka meningkat pada tahun 2024, yang disokong menerusi pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri.

Seterusnya, pertumbuhan eksport menjadi positif selepas dilaporkan merudum sejak bulan Mac 2023. Hal ini akan terus didorong oleh perdagangan global yang lebih kukuh.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan,” jelas BNM.

Jelas pihaknya, prospek pertumbuhan ini bergantung terhadap risiko pertumbuhan menjadi perlahan, berpunca daripada pelbagai aspek.

Antaranya seperti, permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.

Ekonomi di Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan positif pada tahun ini

Pada masa yang sama, pertumbuhan ekonomi meningkat berpunca khususnya daripada peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih aktif serta pelaksanaan projek yang lebih pantas.

BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada awal tahun 2024. Pihaknya mengatakan bahawa trend ini bersifat selari dengan jangkaan yang dibuat sebelum ini.

“Inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal,” ujar BNM.

Namun demikian, inflasi terus bergantung terhadap pelaksanaan dasar dalam negeri seperti subsidi, kawalan harga dan sebagainya.

Mengulas lanjut berkenaan keadaan ekonomi di Malaysia, BNM bersama kerajaan sedang dalam perancangan untuk menyelaraskan tindakan bagi menggalakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk membawa pelaburan asing ke Malaysia.

“Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh,” jelasnya.

“Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit.”

Pada akhir kenyataannya, BNM menerusi MPC akan terus memberikan sokongan terhadap ekonomi dan bersifat konsisten ketika membuat penilaian berhubung prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” kata BNM.

BACA: “Aku cek fon suami, jumpa mesej dan call dari kakakku sendiri! Istigfar aku baca mesej mereka macam pasangan baru kahwin”