Bank Negara dijangka turunkan lagi kadar faedah pinjaman, kata ahli ekonomi

Bank Negara dijangka turunkan lagi kadar faedah pinjaman, kata ahli ekonomi

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi rujukan kadar faedah pinjaman tempatan, bagi terus menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini, kata ahli ekonomi.

Mereka berpendapat, BNM masih boleh menurunkan OPR tahun ini, berdasarkan senario semasa perkembangan ekonomi dan sektor kewangan di peringkat antarabangsa serta situasi semasa ekonomi domestik.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, berkata prestasi ekonomi suku pertama dijangka terkesan berikutan pelaksanaan sekali lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri dan proklamasi darurat bagi membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata, secara dasarnya ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan walaupun terdapat pemboleh ubah yang sukar dalam ekonomi global.

Namun demikian, tegasnya, asas ekonomi makro ketika ini masih kukuh dan selepas PKP berakhir, ekonomi akan kembali kukuh di peringkat makro.

“Begitupun, BNM masih mempunyai ruang untuk mengukuhkan ekonomi. Bank pusat masih boleh mengurangkan kadar OPR sehingga 1.00 peratus walaupun ketika ini juga rendah pada 1.75 peratus.

“BNM juga menyedari hakikat bahawa momentum juga dapat dihasilkan dari sudut kewangan. Bank pusat akan terus mengikuti dasar monetari yang berhemah untuk mencapai hasil ekonomi, kestabilan harga dan juga sistem kewangan,” katanya kepada BH.

Shan berkata, pengisytiharan darurat juga menunjukkan kerajaan ingin mengekalkan kestabilan ekonomi makro bagi mencapai jangkaan pertumbuhan tahun fiskal semasa.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, turut sependapat dengan berkata bahawa OPR boleh diturunkan sekitar 25 hingga 50 mata asas atau 0.25 hingga 0.50 peratus lagi.

Beliau berkata, penurunan OPR bergantung kepada tempoh pelaksanaan PKP dan jika ia melebihi tempoh yang ditetapkan, peluang untuk diturunkan itu sangat tinggi.

“OPR berkemungkinan besar diturunkan berdasarkan kepada situasi semasa negara yang sedikit sebanyak memberi impak negatif kepada rakyat.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini juga berpotensi berkembang pada kadar yang lebih perlahan berbanding jangkaan awal,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, semua pihak harus memahami tujuan OPR diturunkan adalah bagi memastikan kos dana bagi tujuan pembiayaan dapat dikurangkan.

Beliau berkata, apabila kos dana dikurangkan, maka ia akan menggalakkan aktiviti ekonomi, di mana peniaga akan meminjam bagi tujuan membiayai semula pinjaman.

Katanya ia bagi mengurangkan kos dana serta mengembangkan perniagaan seperti modal pembelian barang dan modal pusingan.

“Bagi isi rumah, mereka boleh membiayai semula pembiayaan sedia ada bagi menikmati penjimatan bayaran bulanan di samping membuat pelaburan di sektor hartanah dengan tujuan mendapatkan pulangan dan keuntungan jangka panjang.

“Justeru, penurunan OPR seumpama ‘penawar’ untuk mengubati ekonomi yang tidak sihat,” katanya.- BH

COMMENTS