Bank dunia laung amaran ekonomi meleset dalam waktu terdekat. Ekonomi global semakin hampir diancam kemelesetan tahun ini susulan pertumbuhan lebih lemah di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.
Dalam laporan tahunannya, Bank Dunia berkata ia menurunkan unjuran bagi pertumbuhan global tahun ini hampir separuh kepada hanya 1.7 peratus, berbanding unjuran sebelum ini pada 3.0 peratus.
Jika unjuran itu terbukti tepat, ia bakal menjadi pertumbuhan tahunan ketiga paling lemah dalam tempoh 30 tahun, selepas kemelesetan besar yang berpunca krisis kewangan global 2009 dan pandemik COVID-19 pada 2020.
Walaupun AS mungkin dapat mengelak daripada meleset tahun ini, Bank Dunia meramalkan ekonominya hanya akan mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus, dengan kelemahan global berkemungkinan mencetuskan ketidaktentuan terhadap perniagaan serta pengguna di negara itu, ditambah pula dengan harga barangan tinggi dan kos pinjaman lebih mahal.
AS juga kekal terdedah kepada gangguan rantaian bekalan seandainya kes COVID-19 terus meningkat atau perang Russia di Ukraine menjadi lebih buruk.
Sementara itu, Eropah berkemungkinan terjejas daripada ekonomi China yang lebih lemah.
Laporan Bank Dunia itu turut menegaskan bahawa kenaikan kadar faedah di ekonomi maju seperti AS dan Eropah akan menarik pelaburan modal daripada negara-negara yang kurang kaya, sekali gus menjejaskan pelaburan domestik yang penting untuk mereka.
Pada masa sama, laporan itu berkata, kadar faedah tinggi akan memperlahankan pertumbuhan di negara maju ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine menyebabkan harga makanan dunia meningkat.
“Pencerobohan Russia ke atas Ukraine menambah kos baharu yang besar. Tinjauan bagi kebanyakan ekonomi miskin adalah amat buruk, apabila usaha mengurangkan kemiskinan sudah pun terhenti manakala akses kepada tenaga elektrik, baja, makanan dan modal mungkin terhad untuk satu tempoh yang lama,” kata Presiden Bank Dunia, David Malpass.
Laporan Bank Dunia itu menyusuli tinjauan suram yang dibuat oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) awal tahun tahun ini, dengan Pengarah Urusannya, Kristina Georgieva, berkata satu pertiga daripada ekonomi di dunia akan terjerumus kepada kemelesetan pada 2023.
“Bagi kebanyakan ekonomi dunia, ini akan menjadi tahun yang sukar, lebih sukar daripada tahun yang kita tinggalkan.
“Mengapa? Kerana tiga ekonomi besar, AS, Kesatuan Eropah (EU) dan China, kesemuanya menjadi perlahan serentak,” kata Georgieva.
Bank Dunia mengunjurkan ekonomi EU tidak akan berkembang sama sekali tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan pada 2022.
Ia mengunjurkan China hanya berkembang 4.3 peratus pada 2023, hampir satu mata peratusan lebih rendah berbanding unjuran sebelum ini dan kira-kira separuh daripada kadar pertumbuhan yang direkodkan negara itu pada 2021.
BACA JUGA :
Sharon Liew yang apikan perkauman di media sosial rupanya seorang lelaki melayu
Zarina akui minta izin isteri pertama untuk kahwin, “dah 30 tahun bermadu sekarang”