BANJIR | Warga emas di Kemaman ambil inisiatif bina jambatan, mudahkan pergerakan

BANJIR | Warga emas di Kemaman ambil inisiatif bina jambatan, mudahkan pergerakan

Setiap tahun berdepan dengan bencana banjir membuat seorang warga emas mengambil keputusan membina sebuah jambatan bagi menghubungkan rumahnya di Kampung Batu 14, Kuala Tayor di sini dengan kawasan daratan yang lebih tinggi.

Jambatan kayu sepanjang kira-kira 20 meter itu dibina Karim Ismail sejak dua tahun lalu bagi memudahkan pergerakan menyelamat dia dan keluarga ketika rumah mereka dilanda banjir.

Dengan adanya jambatan itu, mereka tidak lagi perlu bergantung kepada perahu untuk bergerak dan berpindah ke pusat pemindahan banjir.

“Dulu sebelum ada jambatan ini saya dan keluarga bergantung kepada perahu untuk berpindah. Tetapi dua tahun lepas saya ambil keputusan membina jambatan ini.

“Ia bukan sahaja memudahkan saya tetapi juga usaha menyelamat kami sekeluarga ketika banjir lebih cepat dan berkesan,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.

Karim memberitahu, pembinaan jambatan setinggi 2.8 meter itu juga menelan belanja RM2,000.

Bukan itu sahaja bapa kepada tujuh cahaya mata ini juga menyediakan ruangan khas yang tinggi untuk menyimpan barang berharga daripada rosak akibat bencana alam itu.

“Ya saya sediakan juga ruang khas yang lebih tinggi untuk simpan barang berharga sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Semua ini saya belajar dari bencana banjir yang sangat teruk sekitar tahun 2012 hingga 2014. Jadi saya melihat ada keperluan untuk membuat ruangan khas ini,” katanya.

Bencana banjir kembali melanda Terengganu pada Khamis lalu menyebabkan keluarga Karim terpaksa berpindah ke pusat pemindahan banjir buat kali kedua.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/warga-emas-bina-jambatan-mudahkan-pergerakan-ketika-banjir-274239

COMMENTS