Bakal menantu Fandi Ahmad rupanya naib juara Miss Universe 2023

Oleh MOHD FAHMI MUSTAQIM

Model asal Thailand, Anntonia Porsild baru-baru ini telah berjaya dinobatkan sebagai naib juara dalam pertandingan ratu cantik antarabangsa, Miss Universe 2023.

Kejayaan tersebut bukan sahaja berjaya mencuri tumpuan peminat Thailand, tetapi turut mengundang perhatian di kalangan rakyat Singapura dan Malaysia.

Mana tidaknya, gadis cantik kacukan Thailand-Denmark itu rupa-rupanya teman wanita kepada pemain bola sepak terkenal asal Singapura iaitu Irfan Fandi Ahmad.

Bakal menantu Fandi Ahmad rupanya naib juara Miss Universe 2023

Irfan Fandi adalah anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang kini bertugas sebagai pengendali kelab Liga Super di Malaysia iaitu Sri Pahang FC.

Cukup disegani di Malaysia, Fandi juga pernah berkhidmat sebagai ketua dan pembantu jurulatih untuk pelbagai kelab bola sepak di negara ini termasuk Johor Darul Takzim (JDT).

Walaupun kekasihnya tidak berjaya menjadi juara, Irfan tetap berkongsi rasa bangga menerusi hantaran ‘story’ yang dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya, @irfanfandi17.

“Tiada kata-kata yang boleh menggambarkan betapa bangganya saya terhadap awak. Awak memang menakjubkan. Ratu hatiku! Saya cinta awak @porxild.” Tulisnya.

Terdahulu, Anntonia Porsild dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua dalam pertandingan Miss Universe kali ke-72 yang berakhir di El Salvador hujung minggu lalu.

Juara dan gelaran Miss Universe pula dimenangi ratu cantik Nicaragua, Sheynnis Palacios manakala model Australia, Moraya Wilson pula meraih kedudukan ketiga.

Bagi menzahirkan rasa terima kasih atas sokongan yang diberi sepanjang pertandingan berlangsung, Anntonia turut memuat naik satu hantaran di Instagram miliknya.

“Saya memberikan segala-galanya di atas pentas malam ini untuk Thailand dan semua orang yang percayakan saya serta mereka yang menjadi sebahagian dari perjalanan hidup saya.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat membawa pulang mahkota itu (juara Miss Universe). Terima kasih atas semua kasih sayang dan sokongan yang saya terima sepanjang perjalanan ini.

“Tanpa sokongan anda semua, saya tidak akan berdiri di sini hari ini,” luah Anntonia menghargai peminatnya.

Baca juga: “Aku curang sebab geli bau badan isteri, rupanya isteri aku rahsiakan sesuatu buat aku menyesal tak hargai dia!”