Bahagian Batu Pahat tolak penyertaan UMNO dalam PN

Bahagian Batu Pahat tolak penyertaan UMNO dalam PN

Mesyuarat Khas UMNO bahagian Batu Pahat memutuskan untuk menolak UMNO menjadi komponen Perikatan Nasional (PN), jika didaftarkan sebagai badan formal seperti Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata UMNO bahagian Batu Pahat mendesak supaya pemimpin UMNO di peringkat Persekutuan menjarakkan diri daripada sebarang perbincangan ke arah penubuhan atau pendaftaran PN apatah lagi menandatangani untuk menyertainya.

“UMNO mesti konsisten dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan fokus memperkukuhkan Muafakat Nasional sebagai gagasan politik baru untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Muafakat Nasional lahir melalui satu proses hati nurani politik yang murni ekoran penentangan terhadap ICERD, Statut Rome dan tindak tanduk DAP bila dapat kuasa, katanya, dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurut beliau, PN sepatutnya hanya kekal sebagai pemudah cara agar kerajaan terus berfungsi demi rakyat sehingga PRU ke 15.

“UMNO tidak boleh terperangkap dengan “game plan” BERSATU jika UMNO menyertai PN yang didaftarkan.

“UMNO Batu Pahat bimbang UMNO akan terpalit dengan politik “beracun” BERSATU akibat persengketaan berterusan kelompok Tun Mahathir Mohamad dan kelompok Muhyiddin, katanya.

Katanya, UMNO tidak boleh tertipu dengan politik wayang BERSATU yang dianggotai oleh ahli Parlimen lompat daripada PKR dan UMNO.

“Kekuatan BERSATU bukan kerana akar umbi tetapi ihsan nyawa dari mereka yang melompat. Justeru, UMNO perlu kekal dengan sendi politik rakyat yang kukuh, katanya.

Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/politik/2020/06/697011/bahagian-batu-pahat-tolak-umno-jadi-komponen-pn

COMMENTS