Ketika kebanyakan kanak-kanak lelaki biasanya memiliki permainan dan mainan, anak kepada Daim Zainuddin menjadi pemilik firma Kepulauan Virgin Britain pada usia sembilan dan 12 tahun.
Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim lahir pada tahun 1995 dan 1998 masing-masing menjadi pemegang saham
Newton Invest & Finance Limited (BVI) pada tahun 2007, yang memiliki hartanah di London bernilai GBP10 juta pada waktu itu.
Menurut dokumen yang diperoleh oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) dan dilihat oleh Malaysiakini, mereka adalah pemegang saham bersama dengan ibu mereka, Naimah Abdul Khalid, yang merupakan isteri ketiga bekas menteri kewangan itu.
Pada tahun 2017, ketika adik beradik ini mencapai usia awal dua puluhan, mereka menjadi pemilik beberapa syarikat luar pesisir yang ditubuhkan di tempat perlindungan cukai itu, termasuk Splendid International Ltd (BVI) yang memiliki hartanah London bernilai GBP12 juta (kira-kira RM65 juta pada kadar pertukaran 2017).
Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International (BVI) adalah antara senarai firma pemegang amanah dan syarikat berkaitan dengan Daim yang diperbadankan di tempat perlindungan cukai berkenaan.
Ini didedahkan oleh Pandora Papers, kumpulan dokumen yang diperoleh ICIJ dan dilihat oleh Malaysiakini.
Sumber tanpa nama berkongsi maklumat fail kewangan sulit dengan ICIJ sebesar 2.94 terabyte, berjumlah lebih 11.9 juta dokumen dan rekod lain, daripada 14 penyedia perkhidmatan firma luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat shell dan pemegang amanah di ‘syurga perlindungan cukai’ di seluruh dunia.
Syarikat shell ialah firma atau perbadanan yang hanya ada di atas kertas tetapi mungkin mempunyai akaun bank atau mungkin mengadakan pelaburan pasif atau menjadi pemilik aset yang berdaftar.
Memiliki akaun, syarikat atau firma pemegang amanah luar pesisir, bagaimanapun, tidak semestinya seseorang itu terlibat dalam urus niaga haram dan tidak sah untuk menubuhkan entiti luar pesisir.
Dikenali sebagai bapa korporat Malaysia, yang memiliki pengaruh besar dalam bidang politik, Daim setakat ini belum masuk dalam senarai Forbes 50 orang paling kaya di Malaysia.
Ini mungkin kerana urusan perniagaannya sering menjadi misteri, dengan pemerhati korporat kadang-kadang meneliti pegangannya melalui aktiviti melibatkan ahli keluarga terdekatnya atau rakan perniagaan yang dikenali.
Salah seorang rakan Daim ialah Josephine Premla Sevaretnam, bekas peguam dan timbalan pendakwa raya, yang pernah berkhidmat bersama Daim, sebelum memegang jawatan penting dalam pelbagai syarikat.
Ini termasuklah bank Switzerland ICB Banking Group, yang dimiliki oleh Daim sebanyak 74.4 peratus, ketika disenaraikan di London Investment Investment Market pada tahun 2007.
Nama Josephine muncul lagi di Newton Invest & Finance Limited (BVI) dan Splendid International Ltd (BVI) sebagai pengurus perniagaan, yang berpusat di Bryanston Square, London.
Bryanston Square merupakan dataran taman seluas 800 kaki darab 200 kaki di Marylebone, London menjadi alamat yang muncul berkali-kali dalam carian yang melibatkan anak-anak Daim dan harta benda atau syarikat di London.
Sebagai contoh, anak perempuannya yang berpangkalan di Switzerland Aslinda Daim-Pan, yang mengambil nama keluarga suaminya merupakan pengarah syarikat Britain 8 Bryanston Square Freehold Limited, menurut pendaftar syarikat UK Companies House. Syarikat “pengurusan hartanah” itu, bagaimanapun, hanya memiliki aset GBP5, menurut pemfailan terakhirnya.