Azwan Ali dipanggil ke Bukit Aman, tular klip ‘perlekeh’ darurat

Azwan Ali dipanggil ke Bukit Aman, tular klip ‘perlekeh’ darurat

Artis kontroversi, Azwan Ali atau lebih dikenali Diva AA telah dipanggil ke Bukit Aman pada Khamis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai klip video memperlekehkan proklamasi darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5 JSJ Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang telah memuat naik dan menularkan klip video itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Huzir menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform tersebut sehingga mendatangkan kegentaran awam dan mengganggu gugat keharmonian negara.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang sengaja mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – SH