Azmin nafi puji WARISAN, dakwa video Januari lepas diulang balik

Azmin nafi puji WARISAN, dakwa video Januari lepas diulang balik

Saya dimaklumkan bahawa ada pihak yang tidak bertanggungjawab telah menularkan ucapan saya dalam satu sidang media yang kononnya saya memberi sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan).

Saya ingin menegaskan bahawa ucapan tersebut dibuat ketika saya turun ke Kimanis dalam kempen Pilihan Raya Kecil pada Januari 2020 untuk membantu calon Warisan yang merupakan rakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

Penyebaran ucapan tersebut yang diulang semula beberapa jam sebelum hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 membuktikan bahawa Warisan berada dalam situasi yang kian terdesak dan cuba mendapatkan sokongan saya untuk calon-calon Warisan.

Saya mengajak semua pengundi-pengundi di Negeri Sabah untuk memberikan sokongan yang kuat dan padu kepada calon-calon Perikatan Nasional, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan berlangsung pada hari esok.

Saya telah menjelajah ke hampir seluruh Negeri Sabah termasuk kawasan pendalaman sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ini. Dalam program-program menyantuni rakyat Sabah, saya dapat merasakan bahawa dukungan rakyat cukup kuat dan utuh kepada Perikatan Nasional dan rakan-rakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menuntut perubahan pada hari esok.

Saya yakin dan percaya, rakyat Sabah mendambakan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil dan mempunyai hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah.

DATO SERI MOHAMED AZMIN ALI
Ketua Penerangan
Perikatan Nasional