Azmin alu-alukan PAS-UMNO dukung Tun M sebagai PM sehingga akhir penggal

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengalu-alukan pendirian PAS dan UMNO untuk memberi dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal pentadbiran kerajaan sekarang.

“Pendirian itu seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” demikian menurut Timbalan Presiden PKR itu dalam kenyataannya yang mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pendirian PAS dan UMNO itu.

“Kepimpinan Tun Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijaksanaan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” kata Mohamed Azmin.

Pemimpin PKR itu menarik perhatian dukungan bipartisan terhadap Perdana Menteri membuka lembaran baharu politik Malaysia dengan kepentingan rakyat diberikan keutamaan termasuk dalam soal meluluskan pindaan Perlembagaan yang menurunkan had usia mengundi kepada 18 tahun.

“Sokongan itu adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbedaan politik akan tetap wujud. Namun, setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat,” kata Mohamed Azmin.

Menurutnya, mandat rakyat yang diterima oleh PH lebih setahun yang lepas memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah-langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

“Kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik mereka,” tambahnya.

BERNAMA

CATEGORIES