Azmin Ali calon MB Selangor dari PN?

Oleh INFORAKYAT

Azmin Ali calon MB Selangor dari PN?. Meskipun tewas pada pilihan raya umum (PRU15) lalu, Mohamed Azmin Ali masih mempunyai kelebihan untuk diketengahkan sebagai calon menteri besar Selangor daripada Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Azmi berkata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu mempunyai pengaruh dan kredibiliti berbanding pemimpin PN lain termasuk beberapa pemimpin Umno yang dikatakan sedang dipancing oleh gabungan itu dalam usaha menawan Selangor.

Antara pemimpin Umno yang disebut-sebut bakal bersama PN adalah bekas ketua Umno Selangor Noh Omar, dan situasi itu bakal mewujudkan keadaan sama seperti di Perlis yang menyaksikan Shahidan Kassim bertanding atas tiket PN.

Noh antara calon veteran Umno boleh menang digugurkan di kerusi Parlimen pada PRU15, sehingga mengakibatkan perpecahan dalam parti itu. Beliau kemudian meletak jawatan sebagai ketua Umno Selangor pada 20 Nov selepas mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti.

Menurut Azmi, pemimpin Umno antipresiden Umno itu tidak begitu kuat berdasarkan keputusan pada PRU 2018 dan PRU 2022.

Azmin Ali calon MB Selangor dari PN?

“Ditambah pula Umno/BN pro-Zahid akan bekerjasama dengan PH maka impak yang dibawa kumpulan Umno anti-Zahid untuk membantu PN tidak memberi kesan ketara, kerana jika mereka dikatakan secara terang membantu PN maka ini akan memberi senjata kepada kumpulan Zahid untuk memecat mereka daripada Umno.

“Kalau beliau (Azmin) dipertaruhkan, PN mampu tawan Selangor daripada PH kerana Azmin adalah bekas menteri besar… itu beri kekuatan kepada PN untuk ketengahkan Azmin sebagai calon MB,” katanya kepada FMT.

Awal bulan lalu, setiausaha agung PN Hamzah Zainudin menjemput mana-mana parti yang ingin bersama PN dalam usaha menawan Selangor pada PRN nanti, dan menyatakan keyakinan mampu merampas negeri PH itu.

Pada PRU15 lalu, PN menawan enam kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar, dan Kuala Langat. PH pula menang 16 Parlimen.

Di peringkat DUN Selangor, PAS yang merupakan sebahagian daripada PN hanya mewakili satu kerusi di Sijangkang, manakala Bersatu memiliki empat kerusi iaitu Azmin (Bukit Antarabangsa), Hilman Idham (Gombak Setia), Abdul Rashid Asari (Selat Klang) dan Adhif Syan Abdullah (Dengkil).

Azmi berkata Azmin dijangka kekal di Bukit Antarabangsa yang sudah sinonim dengannya apabila kekal menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2008.

“Bukit Antarabangsa adalah kawasan paling sesuai untuk Azmin. Ia mempunyai majoriti Melayu dan pengundinya memilih berdasarkan kepentingan kawasan itu,” katanya.

Pada PRU15, Azmin tewas kepada Menteri Besar Amirudin Shari yang juga naib presiden PKR di Parlimen Gombak dengan majoriti 12,729 undi.

Sementara itu, Mujibu Muis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpandangan walaupun Azmin dilihat sebagai calon paling “layak” dari PN, namun bebanan pemimpin Bersatu itu sebagai pengkhianat menjadi cabaran besar untuk beliau diterima semula oleh pengundi di Selangor.

“Keputusan di Gombak mungkin satu indikasi beliau ditolak di Selangor,” katanya, tetapi tidak menolak sekiranya PN mampu menggarap ramuan terbaik, gabungan itu mampu menawan Selangor dari PH.

Tambahnya, walaupun “gelombang PN” berjaya membuat kejutan pada PRU lepas, ia tidak boleh diambil mudah oleh gabungan pimpinan Muhyiddin Yassin itu kerana naratif pembentukan kerajaan negeri dan pusat jauh berbeza, memandangkan BN dan PH kini bersama dalam kerajaan persekutuan.

“Sekiranya BN-PH menjalin kerjasama dalam PRN nanti, sudah tentu kekuatan bagi kedua-dua gabungan adalah seimbang,” katanya.

BACA:

Shuib rimas selalu dikaitkan dengan watie, ini punca sebenar..

Pertemuan Azmin dan wakil PKR, khabar angin Anwar bawa masuk Azmin bertiup kencang