Azli lapor polis terhadap individu menyamar sebagai beliau, nafi terima habuan

Azli lapor polis terhadap individu menyamar sebagai beliau, nafi terima habuan

Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Azli Yusof hari ini membuat laporan polis terhadap dua individu yang didakwa menyamar sebagai beliau dalam isu pemalsuan dokumen kerajaan untuk meluluskan sebuah projek di Kuala Lumpur.

Azli juga menafikan bahawa beliau menerima habuan hasil dari penyediaan dokumen berkenaan.

Beliau yang ketika ini berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, dakwaan tersebut menyebabkan beliau ditahan reman dan mencemarkan imejnya

“Aduan ini saya lakukan kerana penyamaran dan dakwaan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Dakwaan ini telah menyebabkan saya ditahan reman sehari dan dimasukkan ke dalam Lokap Jinjang.

“Berita penahanan ini juga tersebar luas dalam media arus perdana dan media sosial sehingga mencemarkan nama saya.

“la juga menjejaskan reputasi saya sebagai Ketua Parti Amanah Negara Kawasan Shah Alam,” katanya selepas membuat laporan polis di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Sebelum ini, Azli berkata kepada Malaysia Dateline bahawa aduan dibuat sebuah syarikat arkitek selepas mendapati dokumen kebenaran merancang (DO) yang diberikan kepada mereka adalah palsu.

“Broker mendakwa bahawa saya terlibat memberikan dokumen tersebut. Saya telah menafikan dakwaan itu kerana saya sangat memahami bahawa DO hanya boleh dikeluarkan oleh Pihak DBKL terus kepada pihak arkitek atau konsultan.

“Tidak pernah DO rasmi diberikan kepada mana-mana pegawai menteri untuk diserahkan kepada pihak pemohon,” kata Azli.

Pada 16 Mei, Azli ditahan polis dan susulan penahanan itu, Khalid menjelaskan bahawa broker tersebut menerima ganjaran dengan menjual nama Haji Azli yang kononnya telah mendapatkan ganjaran bagi pihaknya.

Broker tersebut juga dikatakan telah menerima bayaran jutaan ringgit hasil penipuan menjual nama Azli.

Dalam pada itu, Azli menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan terhadap dakwaan terbabit agar keadilan dapat ditegakkan dan membersihkan namanya dari dakwaan tersebut.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/azli-lapor-polis-dakwa-orang-tengah-menyamar-sebagai-beliau/#more

COMMENTS