Azeez mohon peruntukan RM100 juta atasi banjir di Baling

Peruntukan berjumlah RM100 juta diperlukan bagi kerja-kerja mendalam dan melebarkan Sungai Ketil untuk membantu mengatasi masalah banjir di daerah ini.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya sudah membuat permohonan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan dijangka akan diperolehi pada tahun depan.

“Kita perlukan peruntukkan ini selepas melihat kemusnahan banjir yang berlaku di Baling sepanjang tahun ini. Sudah lapan kali banjir berlaku di beberapa kawasan terutamanya di sekitar tebing sungai yang menyebabkan banjir kilat.

Azeez mohon peruntukan RM100 juta atasi banjir di Baling

Abdul Azeez Abdul Rahim

“Air banjir naik lebih 10 kaki (tiga meter) dan merosakkan banyak insfrastruktur seperti jambatan, titi gantung, jalan mini tar, parit dan longkang serta rumah-rumah penduduk di sepanjang Sungai Ketil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Gotong Royong Perdana Pasca Banjir Musim Peralihan Monsun Timur Laut Peringkat Daerah Baling di surau Kampung Bukit, Kupang, di sini, hari ini.

Perasmian dilakukan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman.

Turut hadir, Pegawai Daerah Baling Mohamad Shahadan Abdullah.

Abdul Azeez berkata, kerja-kerja melebarkan kawasan sungai serta anak-anak sungai sepanjang 49 kilometer (km) sudah dilakukan sebelum ini dan giat dilakukan di sepanjang lebih kurang 90 km termasuk di daerah Sik.

Katanya, sebanyak RM278,000 sudah dibelanjakan untuk menyewa jentolak dan jengkaut selama 37 hari bagi kerja-kerja mendalam serta melebarkan sungai sejauh 49 km.

“Kita perlukan RM100 juta lagi bagi mendalam dan melebarkan sungai sejauh 90 kilometer serta 200 anak sungai, insya-Allah selepas peruntukan ini diperolehi kita dapat selesaikan masalah banjir di Baling,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Shahadan berkata, beberapa kejadian banjir yang berlaku pada penghujung September, Oktober dan awal November lalu menyebabkan kerugian mencecah RM20 juta.

Katanya, ia termasuk kerosakan membabitkan 150 kemudahan awam seperti jambatan, jalan mini tar, tebing dan pembentungan serta 14 kediaman awam.

“Banjir pada tahun ini adalah terburuk dalam sejarah 10 tahun,” katanya.

BACA JUGA : Gempar !!! Bos tak bagi cuti, staff letak jawatan beramai-ramai
Program kerajaan sendiri langgar SOP, Khairy luah rasa kesal

CATEGORIES