Azalina bingung kenapa Malaysia tidak mahu meneruskan sidang parlimen

Azalina bingung kenapa Malaysia tidak mahu meneruskan sidang parlimen

Cabang legislatif telah dilumpuhkan akibat keputusan eksekutif untuk menggantung Parlimen, kata Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara Idrus Harun.

Menurut Azalina, ia menyebabkan cabang eksekutif seolah-olah mentadbir secara bebas dalam hal ehwal negara dan tidak dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.

Idrus adalah abang kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Dalam surat itu, Azalina berkata dia bingung mengapa Malaysia sama ada tidak dapat atau tidak mahu berusaha melaksanakan sidang Parlimen seperti negara lain, seperti dengan mengurangkan penyertaan ahli Parlimen, menggunakan waktu sidang yang anjal, mahupun menyiarkan persidangan kamar khas.

Azalina memetik Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan “jemaah menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”.

“Saya perltu tekankan bahawa pertanggungjawaban kementerian (ministerial responsibility) dalah penting dalam sistem Parlimen kerana ia menjamin kebertanggungjawaban kerajaan kepada legislatif, dan maka, kepada pengundi secara keseluruhan,” katanya.

“Seolah-olah itu belum memadai, Pejabat Peguam Negara juga telah menasihati kerajaan, dan saya perlu tambah secara membatas, yang semua kegiatan jawatankuasa di Parlimen termasuk jawatankuasa pilihan khas tidak boleh lagi diteruskan walaupun jika dibuat secara maya,” katanya lagi.

Azalina yang juga ahli Parlimen Pengarang berkata lagi, nasihat yang dibuat oleh Peguam Cara Negara II Siti Zainab Omar itu menghalang ahli Parlimen yang menganggotai jawatankuasa tersebut daripada menyiasat atau meneliti isu-isu berkaitan.

Azalina berkata lagi, penggantungan Parlimen membangkitkan beberapa soalan, antaranya bagaimana eksekutif akan dipertanggungjawabkan dalam keputusan yang dibuat, dan apakah sebab untuk turut melarang jawatankuasa khas daripada meneruskan tugas mereka.

“Bagaimana untuk ada Kabinet yang berfungsi sepenuhnya jika tiada cara menjalankan pertanggungjawaban kementerian? Mengapa tiada Kabinet Khas Darurat?”

Azalina berharap Idrus dapat menimbang untuk menasihatkan agar Kabinet sekarang digantung dan digantikan dengan Kabinet Khas Darurat yang hanya merangkumi kementerian yang relevan pada masa ini.

“Kabinet Khas Darurat ini boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa terhad sehinggalah Darurat tidak lagi dikuatkuasakan.

“Pada masa sama, jawatankuasa parlimen khas yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang boleh dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang antara lain untuk melaksanakan pertanggungjawaban kementerian dan melaksanakan semak dan imbang yang perlu,” katanya lagi.

Surat itu turut dihantar kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Harun, Ketua Whip Perikatan Nasional Azmin Ali, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat Lembaga Penasihat BN Najib Razak dan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) Shahidan Kassim.

Surat bertarikh hari ini itu dikongsi Azalina di Twitternya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563292